Kadangkala seseorang individu itu tidak akan sedar tahap keborosan mereka tambahan pula semua barang boleh dibeli di hujung jari sahaja.
Tapi orang sekeliling terutama keluarga dapat melihat tahap keborosan kita dan mengambil ikhtiar untuk memantu.
Buat pengguna media sosial ini, dia tidak menyangka paksaan ibunya untuk memberikan wang bulanan sebenarnya adalah untuk membantunya.
“Mak aku setiap bulan akan paksa aku bagi RM300 pada dia.
“Aku kadang-kadang sampai ‘sesak’ setiap bulan. Tapi nak atau tidak, memang akan bagi juga pada mak,” katanya.
Duit bulanan tersebut menyebabkan dia terpaksa menahan diri daripada membeli barangan peribadi
“Barang rumah pun aku beli,” luahnya di laman X.
Selepas dia berhadapan situasi diberhentika kerja, pengguna tersebut mula gelisah apabila tidak mempunyai sumber pendapatan dan sukar mencari pekerjaan lain.
Rupanya ibu buat simpanan kecemasan
Tanpa disangka si ibu menghulurkan kad dan benarkan pengguna tersebut mengeluarkan wang simpanan daripada akaun banknya.
“Hari tu aku kena berhenti kerja, mak aku bagi kad bank. Rupanya mak aku minta RM300 tu untuk buat tabung aku.
“Dalam kad (bank) tu ada RM7,800,” katanya lagi.
Menurutnya, wang simpanan ibunya sedikit sebanyak dapat membantunya dalam urusan harian sementara mendapatkan pekerjaan baharu.
Pengguna media sosial X itu tidak menyangka rupa-rupanya wang simpanan ibu adalah untuk rancangan kewangan terutama ketika kecemasan.
“Mak adalah perancang kewangan yang sebenar,” katanya ringkas menerusi satu ciapan.
Rupanya-rupanya ramai yang mengalami nasib sama dan kebanyakan mereka ada ibu bapa yang lebih peka akan isu simpanan.
“Banyak pula kisah anak-anak bekerja dan berhadapan dengan ibu bapa yang memeras duit sampai mereka tak cukup setiap bulan hingga tiada simpanan. Bukan semua ibu bapa adalah ‘toksik’.
“Ada mak ayah yang tak mahupun duit anak-anak, tapi ambil sebab nak biar duit gaji anak-anak berkat.
“Mungkin dia boros, sebab itu mak dia buat ‘simpanan paksaan’ macam tu.
“Sama macam ibu saya, setiap bulan minta RM1,000 untuk simpan. Alhamdulillah, duit tu saya dapat guna untuk kahwin tahun lepas,” antgara komen warganet.