Mak bapak pun sama naik mandi air banjir, pakat lari bila nampak polis – “Semua balik!”

Oleh WAN SITI AMINAH

Baru-baru ini tular satu rakaman memaparkan gelagat orang ramai mengambil kesempatan atas kenaikan paras air di musim hujan dengan bermandi-mandi bersama ahli keluarga.

Berdasarkan perkongsian yang tular di platform TikTok itu, rakaman dipercayai diambil di sekitar Pusat Perniagaan Manjung Point, Seri Manjung, Perak berdekatan dengan Pantai Hospital.

Suasana pada mulanya kelihatan cukup meriah dengan khalayak ramai terdiri daripada pelbagai peringkat umur teruja bermandi air banjir yang melimpah di jalan raya kira-kira pada paras betis.

Malah perakam video berdurasi 43 saat itu memaklumkan bahawa terdapat pelampung di situ dipercayai dibawa oleh kanak-kanak untuk berenang dalam keadaan air yang tidak terlalu dalam.

Persekitaran bagaimanapun bertukar menjadi riuh dan orang ramai juga bertempiaran lari apabila ternampak kenderaan polis yang membunyikan siren dan memberi arahan supaya mereka semua pulang.

“Buat apa ramai-ramai ini. Balik, balik sekarang. Balik. Di dalam kiraan sepuluh, minta semua beredar. Mak bapak pun ada, anak-anak pun ada,” kata anggota polis melalui pembesar suara.

@amirazizig2k

ingatkan ada pesta air danok tadi , baru nak join 🤣 #manjungproblem #banjir

♬ bunyi asal – Mhd Aizzat – 028462819463919

Setakat artikel ini ditulis, rakaman tersebut sudah berjaya meraih sebanyak 695,400 tontonan dan 87,500 tanda suka daripada pengguna TikTok yang merasa terhibur melihat ibu bapa dimarahi anggota polis.

Ramai juga pengguna berpendapat bahawa orang ramai sepatutnya diberi peluang bermandi-manda kerana peluang sedemikian jarang diperolehi namun segelintir pihak pula tidak bersetuju memikirkan risiko akan datang.

“Pertama kali dengar abang polis membebel. Sekali dengan mak ayah kena juga ya,” kata seorang pengguna merasa terhibur melihat suasana riuh dalam rakaman tersebut.

“Tidak mengapalah macam itu. Mereka tak nak perkara buruk berlaku. Malam-malam pula. Bak kata orang tua-tua, mula-mula suka. Selepas itu duka.” Kongsi pengguna lain yang bersetuju dengan arahan pihak polis.

Sekadar info, bermandi air banjir boleh mendedahkan kita kepada pelbagai risiko kesihatan termasuk masalah cirit-birit, gigitan haiwan, bahan-bahan kimia dan bahaya renjatan elektrik.

Oleh yang demikian, orang ramai disarankan untuk lebih berhati-hati apabila masuk ke kawasan banjir termasuk memakai kasut but atau sarung tangan getah selain mandi semula dengan air bersih dan sabun.

Baca juga: Filem Malam Terlarang dibintangi Zul Ariffin raih RM11 juta, kini cuba nasib tembusi Indonesia