Pengacara sensasi, Azwan Ali baru-baru ini telah mengejutkan orang ramai setelah berkongsi satu rakaman dipercayai ketika dirinya menjalani rawatan gangguan sihir.
Memuat naik video tersebut menerusi satu hantaran di laman media sosial X, Azwan Ali turut memaklumkan bahawa dirinya telah bebas daripada gangguan ilmu hitam itu.
Bukannya mengambil pengajaran, pengacara yang mesra dikenali sebagai Diva AA itu mengaku tidak akan mengubah karekternya walaupun telah menjadi mangsa sihir.
Mengekalkan sifatnya yang bermulut ‘laser’, Azwan Ali menganggap perbuatannya itu betul kerana ia bersandarkan fakta dan bukannya fitnah semata-mata.
Memetik laporan Utusan Malaysia, Azwan Ali mengaku bahawa dirinya tidak menyimpan dendam dan sempat mengucapkan terima kasih kepada penghantar sihir itu
“Saya dinasihatkan oleh ustaz yang merawat supaya tidak berdendam. Ia akan menjadi memori negatif tetapi tidak bermakna ia akan mengubah diri saya 100 peratus.
“Saya tetap akan lantang dengan sebarang isu semasa kerana konsep ‘makikan sahaja’ sudah sebati sebab dari dulu memang saya akan menentang perkara tidak masuk akal.
“Saya bukan meroyan tidak tentu fasal. Saya akan terus ‘bantai’ sebarang isu sebab bukan buat fitnah. Makian juga adalah bertujuan untuk berlaku perubahan,” katanya.
Kongsi Azwan Ali, sikap kelantangan suaranya itu kadang-kadang membawa perubahan yang positif khususnya dari segi penambahbaikan kualiti perkhidmatan.
“Contohnya seperti perkhidmatan yang kurang bagus. Ada pengurus kedai sendiri pernah minta maaf. Saya bukan bising semberono,” akui lelaki berusia 57 tahun itu.
Di sebalik kelantangannya dalam bersuara, Azwan Ali bagaimanapun bertegas untuk tidak akan menyentuh isu melibatkan 3R iaitu raja, agama dan kaum.
Berkongsi pengalamannya mendapatkan rawatan sihir dari pengamal perubatan Islam Melaka, Azwan Ali memanjatkan rasa syukur dirinya boleh menahan kesakitan.
Sekiranya lemah, gangguan sihir tersebut pasti akan membuatkan dirinya mudah dirasuk makhluk halus yang ‘menumpang’ di dalam tubuh badannya.
Tidak hanya merasakan kesakitan di bahagian leher, dada dan kaki, Azwan Ali juga akan terdengar bunyi letupan sangat kuat disusuli dengan rasa perih.
“Di kaki juga rasa terlalu sakit, rasa seperti dicincang-cincang. Alhamdulillah, bacaan ayat kursi dan ruqyah banyak membantu. Semuanya dengan izin Allah SWT.” Kongsinya.
Baca juga: Penat je dulu bergaduh sampai dalam kain pun terbuka, Anju mengaku dah ‘getback’ dengan papa?