Pihak pengurusan Masjid At-Taqwa Taman Tun Dr Ismail (TTDI), Kuala Lumpur akhirnya membuat permohonan maaf susulan isu tular berhubung layanan kasar didakwa diberikan kakitangan terhadap jemaah.
Menerusi kenyataan dikongsikan di platform Facebook, pihak pengurusan memaklumkan bahawa mereka kini sedang mengenal pasti dan menyiasat dakwaan layanan buruk yang baru-baru ini dibangkitkan di media sosial.
Mereka juga memberi jaminan akan mengambil tindakan sewajarnya untuk memperbaiki mana-mana kekurangan supaya kejadian sama tidak akan berlaku lagi pada masa akan datang.
“Pihak masjid dengan rendah diri menginsafi dan memohon maaf di atas apa yang berlaku. Terima kasih atas sokongan dan kepercayaan semua,” kata pihak pengurusan dalam kenyataan itu.
Tinjauan di ruangan komen perkongsian kenyataan itu mendapati rata-rata pengguna menghargai permohonan maaf daripada pihak masjid namun berharap berlakunya perubahan susulan isu tular tersebut.
Beberapa pengguna Facebook juga turut berkongsikan pengalaman peribadi mereka berhubung layanan yang kurang baik didakwa diterima ketika berjemaah di masjid tersebut.
“Pernah solat dekat masjid sini, rezeki datang awal dan solat di saf depan. Tiba-tiba ada jemaah sini minta duduk dekat belakang sebab saf depan konon untuk geng dia. Hello, kalau nak duduk saf depan. Sila datang awal ya,” kesal seorang pengguna.
“Pangkat Tan Sri, Datuk Seri, Datuk, Dr, Ir dan sebagainya mohon tinggalkan di pagar masjid. Dalam masjid, kita ini sama taraf iaitu hamba pada yang Maha Esa. Jangan banding-bandingkan dan jangan sesekali pandang kepada rendah orang lain. Itu sifat iblis. Santuni jemaah sepertimana kita nak dilayan oleh orang lain.” Kongsi pengguna lain.
Terdahulu, tular dakwaan di platform media sosial berhubung layanan dingin daripada kakitangan masjid dikatakan diberikan terhadap para jemaah terutamanya mereka yang singgah daripada luar kawasan TTDI.
Beberapa pengguna media sosial juga mendakwa pernah menerima teguran secara berlebihan dan terbuka hingga mencetuskan perasaan tidak selesa serta memilih untuk tidak lagi mengunjungi masjid tersebut.
Baca juga: “Pukul 6 petang, jualan masih banyak” – Peniaga bazar Ramadan rayu perhatian penganjur