Luahan mengenai nasib peniaga Bazar Ramadan di Pantai Teluk Ketapang, Kuala Terengganu mencuri perhatian apabila satu perkongsian tular di media sosial.
Video berkenaan memaparkan keadaan jualan yang masih banyak berbaki meskipun jam sudah menghampiri waktu berbuka.
Menerusi hantaran dimuat naik akaun TikTok milik pengguna dikenali sebagai fakhruyyzz dua hari lalu, kelihatan suasana bazar yang kurang mendapat sambutan.
Difahamkan, sekitar jam 6 petang, sebahagian peniaga masih mempunyai jualan yang belum terjual.
“Pukul 6 petang, jualan masih banyak. Inilah nasib peniaga Bazar Ramadan Pantai Teluk Ketapang.
“Diharap penganjur mencari solusi seperti tukar tempat atau lain-lain yang boleh memberi nafas lega kepada peniaga,” menurut kapsyen pada video tersebut.
Perkongsian itu mengundang pelbagai reaksi warganet yang meluahkan rasa simpati terhadap peniaga yang terpaksa menanggung risiko kerugian sekiranya makanan tidak habis dijual.
Ada yang berpendapat faktor lokasi dan jumlah pengunjung memainkan peranan penting dalam menentukan sambutan.
“Saya pun ambil tapak dekat sini, nak jadikan cerita banyak halangan nak jual akhirnya sampai ke hari ini tak jual, deposit ‘burn’ je lah.
“Lokasi tidak sesuai, banyak bazar dibuka. Peniaga pun makin bertambah.
“Kebanyakan kawasan situ banyak pelajar universiti tapi sekarang tengah cuti semester,” antara komen pengguna TikTok.