“Menggalakkan perceraian? Kerja gila!” – Coach Cerai tampil jawab kontroversi

Oleh MAISARAH AISYA

Dituduh dengan pelbagai tohmahan dan kata-kata keras, seorang lelaki yang dikenali sebagai Cerai Coach tampil menjelaskan kedudukannya, menepis dakwaan bahawa peranannya mendorong perceraian.

Menerusi hantaran di Facebook, Mohd Izary Muhammed Ikhbal tampil menjelaskan kontroversi yang timbul terhadap peranannya sebagai Divorce Coach.

Dalam kenyataannya, Izary menegaskan bahawa semua dakwaan bahawa dia menggalakkan perceraian adalah tidak benar.

Menurutnya, istilah Cerai Coach hanyalah terjemahan tempatan bagi peranan Divorce Coach yang diiktiraf di peringkat antarabangsa malah menjawab dakwaan bahawa perkhidmatannya tidak sesuai dengan negara Islam.

“Saya nak jelaskan dengan sejelas-jelasnya, menggalakkan atau menghasut orang bercerai adalah kerja gila! Dan itu bukanlah apa yang dilakukan oleh seorang Divorce Coach / Cerai Coach.

“Bukankah sepatutnya terpulang kepada individu yang mencari bantuan untuk memutuskan sokongan apa yang mereka perlukan? Tambahan pula, tidak semua klien saya adalah umat Islam.

“Jika seseorang itu lebih selesa pergi kepada ustaz atau pihak berkuasa Islam, silakan. Tetapi mengapa mesti salah satu sahaja? Mengapa tidak kedua-duanya?” kongsinya di Facebook.

Izary menegaskan beliau tidak berniat mengelirukan orang ramai dan menyeru agar orang ramai membuat penyelidikan yang tepat sebelum menilai peranannya.

Malah dia turut memberi contoh beberapa Divorce Coach terkenal dari negara Islam termasuk Arab Saudi dan UAE, seperti Nada Hariri, Ghazal Hashim, dan Khadija Al Jabri, yang semua beragama Islam dan melakukan kerja bermakna.

Baginya kata-kata kasar dan penghinaan, termasuk daripada kaum wanita, amat mengejutkan.

“Apa yang paling membingungkan adalah, mereka mendakwa bahawa apa yang saya lakukan bertentangan dengan ajaran Islam.

“Tetapi mereka sendiri menggunakan kata-kata penuh kebencian, jijik, dan penghinaan. Ironi ini sangat mengganggu,” tambahnya.

Izary turut mengkritik pihak berkuasa agama yang, menurutnya, mengeluarkan kenyataan ringkas tanpa menyiasatnya terlebih dahulu.

Walaupun menerima kritikan hebat, Izary melihat hikmah di sebalik kontroversi ini.

“Semua ini telah membuat saya ‘viral’ yang luar biasa. Kebanyakan syarikat membayar jutaan ringgit untuk menjana pendedahan sebegini, dan saya mendapatnya secara percuma…

“Saya percaya kontroversi dan kebencian tinggi terhadap Cerai Coach ini akan menurun.

“Dan apabila ia berlaku, saya akan ada peluang yang lebih besar untuk mendidik semula orang ramai tentang apa sebenarnya yang dilakukan oleh seorang Cerai Coach / Divorce Coach,” kongsinya.

Baca juga: Pelanggan terharu pekerja muda masuk duit tip dalam kotak derma, tak lupa sedekah