Pelanggan terharu pekerja muda masuk duit tip dalam kotak derma, tak lupa sedekah

Oleh WAN SITI AMINAH

Perkongsian seorang pelanggan mengenai sikap pekerja muda di sebuah restoran tempatan selepas menerima duit tip telah berjaya mencuri perhatian orang ramai baru-baru ini.

Menerusi perkongsian dimuat naik di platform Threads, pelanggan itu mengakui tergerak hati untuk memberi sedikit wang sebagai tip kepada seorang pekerja muda yang dipercayai bekerja sambilan di restoran tersebut.

Namun pelanggan itu tidak menyangka bahawa pekerja terbabit turut memanjangkan sedekahnya dengan memasukkan sebahagian daripada wang itu ke dalam kotak derma di restoran berkenaan.

“Selepas makan malam di sebuah restoran Melayu, saya memberi duit tip kepada seorang budak lelaki. Dekat sini tiada budaya memberi tip. Dia mungkin masih bersekolah dan bekerja secara sambilan.

“Mula-mula dapat duit itu, dia bertanya kepada pengurus di kaunter yang menasihatinya untuk menerima sahaja wang berkenaan. Kemudian dia memasukkan sedikit tip itu ke dalam kotak duit.

“Selebihnya dimasukkan ke dalam poketnya. Beramal itu bermula dari hati yang besar, bukan dari sumber. Syabas. Gambar diambil semasa dia memasukkan wang ke dalam kotak,” kongsi pelanggan terbabit.

Tinjauan di ruangan komen perkongsian itu mendapati rata-rata pengguna Threads mengagumi sikap pekerja restoran berkenaan selain turut memuji tindakan pelanggan yang bermurah hati memberi tip.

Beberapa pengguna juga menjelaskan kepada pelanggan bukan Muslim itu bahawa penganut agama Islam sememangnya dianjurkan untuk memanjangkan sedekah dan akan mendapat ganjaran dari Allah SWT.

Baca juga: Rezeki tak salah alamat, pelajar universiti menang Proton S70