Menteri sukan sering bertukar, Langkah Sheraton punca prestasi atlet Sukan SEA terganggu? Ini pendedahan menteri

Oleh KIM SYAZIE

Menteri Belia dan Sukan, Hannah Yeoh tampil mempertahankan kenyataannya bahawa prestasi kontinjen negara di pentas Sukan SEA Kemboja 2023 terganggu disebabkan ketidakstabilan politik terutama selepas berlakunya “Langkah Sheraton”.

Langkah Sheraton berlaku pada Februari 2020 yang didalangi sebahagian besar wakil rakyat Bersatu termasuk Tan Sri Mahiaddin serta ahli-ahli PKR yang meninggalkan gabungan Pakatan Harapan untuk bekerjasama dengan Umno dan Pas.

Memetik Harapan Daily, Hannah berkata, fakta itu tidak boleh diketepikan kerana dalam tempoh 4 tahun lalu, segala perancangan, peruntukan mahu pun persiapan terjejas disebabkan struktur politik negara yang sering berubah.

“Dalam 4 tahun yang lepas kita telah bertukar tiga Perdana Menteri dan tiga Menteri KBS. Sejak Mei 2013 menteri KBS pada masa itu Khairy Jamaluddin mempunyai 61 bulan untuk membuat persiapan sukan-sukan.

“Julai 2018 Syed Saddiq Syed Abdul Rahman hanya mempunyai 20 bulan untuk membuat persiapan sebelum Langkah Sheraton berlaku. “Kemudian Reezal Meerican 18 bulan.

Datuk Seri Faizal Azumu 16 bulan. Dalam 4 tahun, tiga menteri bertukar-tukar dan setiap kali kita bertukar, ada penukaran “board members”, bajet dan juga fokus,” katanya dalam sesi soal jawab menteri di Dewan Rakyat hari ini.

Beliau menjawab soalan tambahan Ahmad Fadhli Shaari (PN-Pasir Mas) yang bertanya bagaimana ketidakstabilan politik boleh memberi kesan pada prestasi atlet sedangkan negara lain yang lebih tidak stabil boleh melakukan terbaik.

Hannah berkata, dalam butiran Belanjawan 2022 yang dibentangkan pada Oktober 2021 tidak pernah dinyatakan peruntukan yang diberikan untuk program podium bagi tahun 2022.

Imi jelasnya telah menyebabkan pihak Majlis Sukan Negara (MSN) terpaksa menyusun semula program persediaan atlet ke arah temasya sukan utama bagi tahun 2022.

Kesannya seramai 220 atlet tidak dapat meneruskan latihan memandangkan tiada peruntukan khusus diberikan untuk pelaksanaan program latihan senior di bawah program podium.

“Setiap kali kita ada perubahan seperti ini, apabila ada elaun tertangguh dan gaji jurulatih tertangguh kerana bajet ini tak ada, ini memberikan kesan kepada latihan mereka kerana ada yang perlu ke luar negara

“Saya ada bincang dengan atlet dan persatuan, betul mereka menyatakan dalam 4 tahun ini sementara kita sibuk di sini berpolitik, negara-negara jiran kita sudah maju ke hadapan,” ujarnya.

Ahli Parlimen Segambut itu juga menambah, beliau boleh sahaja meletakkan beban kesalahan sepenuhnya kepada Persatuan Sukan Kebangsaan, namun beliau percaya itu adalah tindakan tak bertanggungjawab kerana keadaan politik di Malaysia juga telah memainkan peranan

“Salah satu faktor, sy bukan kata semuanya adalah kerana ketidakstabilan politik.

“Tetapi kita mesti memperakui dalam 4 tahun yang lepas selepas Langkah Sheraton memang ada banyak usaha yang kerajaan lakukan masa itu untuk bantu ekonomi dan pendidikan semuanya terganggu kerana ketidakstabilan politik. itu adalah fakta,” katanya lagi.

Baca juga: Lelaki tak puas hati dicaj RM89 di restoran mamak, sekali “check” bil rupanya dua ketul udang kecil RM40