Seorang lelaki yang bekerja sebagai pembantu kedai ubat tradisional dijatuhi hukuman penjara enam bulan dan denda RM2,500.
Lelaki tersebut mengaku bersalah menyimpan 19,011 video dan gambar lucah kanak-kanak dalam pemacu kilat miliknya di Mahkamah Majistret Teluk Intan.
Memetik Harian Metro, Majistret T Ashvinii menjatuhkan hukuman itu terhadap Liew Ming Hui, 24, selepas mengaku salah sebaik saja pertuduhan dibacakan terhadapnya.
Mengikut pertuduhan, lelaki itu didakwa mempunyai dalam milikannya suatu bahan pornografi kanak-kanak iaitu satu unit kad memori yang mengandungi video dan gambar membabitkan kanak-kanak.
Bukti tersebut dijumpai di Rumah Nombor 19 Atas, Lorong 1, Jalan Besar, Rancangan Perumahan Awam (RPA) 2 Langkap, jam 4.20 petang, 29 Mei lalu.
Bagi pertuduhan itu, dia didakwa mengikut Seksyen 10 Akta Kesalahan-Kesalahan Seksual Terhadap Kanak-Kanak 2017 (Akta 792) yang memperuntukkan hukuman penjara maksimum lima tahun atau denda maksimum RM10,000 atau kedua-duanya sekali, jika sabit kesalahan.
Mengikut fakta kes, pada 29 Mei lalu, polis merampas barang kes berbentuk satu unit komputer riba jenama Acer, Model Z5WAH, satu unit Adapter computer riba jenama Liteon dan satu unit pemacu kilat jenama Kingston Datatraveler 100 G3-64GB.
Jumpa lebih 19,000 video dan gambar kanak-kanak
Hasil pemeriksaan dan siasatan polis, mendapati terdapat 19,011 dokumen membabitkan video dan gambar kanak-kanak pornografi di dalam pemacu milik tertuduh.
Pendakwaan dikendalikan Timbalan Pendakwa Raya, Izzudin Fakri Hamdan manakala tertuduh diwakili peguam Jude Pereira.
Terdahulu, Pereira merayu anak guamnya diberikan hukuman ringan berbentuk denda atas alasan tertuduh anak tunggal yang membantu perniagaan kedai ubat tradisional milik bapanya dan sudah insaf selain itu adalah kesalahan pertama tertuduh.
Bagaimanapun, Izzudin Fakri memohon mahkamah memberi hukuman yang dapat memberi pengajaran kepada tertuduh dan orang ramai.
Mahkamah kemudiannya menjatuhkan hukuman penjara enam bulan dan denda RM2,500 terhadap Ming Hui, jika gagal membayar denda tambahan lima bulan penjara tertuduh. Tertuduh kemudian membayar denda.
Pereira kemudiannya memohon penggantungan pelaksanaan hukuman sementara rayuan, namun mahkamah tidak membenarkan dan menetapkan tertuduh menjalani hukuman penjara bermula dia disabitkan bersalah, hari ini.
Terdahulu, mahkamah tidak membenarkan tertuduh diikat jamin selepas majistret berpuas hati dengan hujahan balas Izzudin Fakri terhadap rayuan Pereira.