Mimi Fly kongsi ciri-ciri ‘red-flag’ calon suami, hilang minat dengan lelaki pemalas

Oleh MALAYSIADATELINE

Penyanyi, Mimi Fly kembali mencuri perhatian ramai baru-baru ini apabila berkongsikan pendapat peribadi tentang ciri-ciri ‘red-flag’ atau sikap negatif yang perlu dielakkan terutama dalam memilih pasangan hidup.

Menerusi perkongsian dalam program audio siar atau ‘podcast’ The Chic Code, penyanyi berusia 39 tahun itu mengakui ciri-ciri red-flag segelintir lelaki yang paling tidak disukainya adalah individu bersikap pemalas.

Pemilik nama sebenar Shamimi Amalina Norhisham itu mengakui sikap tersebut boleh membuatkannya hilang minat terhadap seseorang lelaki terutama ketika berada dalam tempoh perkenalan ke arah yang lebih serius.

Hal ini berikutan lelaki yang pemalas ada kalanya hanya akan mencari isteri bertujuan membantu menjaga dan mengurus diri bukannya untuk sama-sama menggalas tanggungjawab sebagai pasangan hidup.

Red-flag terbesar bagi saya ialah lelaki malas. Memang annoying (menjengkelkan) dan terus buat saya hilang minat. Saya susah nak terpikat apabila lelaki itu malas termasuk malas nak bekerja. Malas nak berfikir.

“Malas nak kisah dan sebagainya. Segelintir lelaki nak jadi suami dan sebahagian pula hanya mahu ada isteri dan ia adalah dua perkara yang berbeza. Jadi selalunya yang hanya mahukan isteri ini adalah pemikiran malas.

“Sebab dia nak orang jaga dan uruskan dirinya,” kesal Mimi berkongsikan pandangan berhubung isu tersebut dalam program disiarkan di Youtube sebelum sedutan rakamannya dimuat naik semula di platform Threads.

Dalam perkongsian sama, Mimi juga berharap supaya Kaum Adam mula menyedari hakikat bahawa mereka juga perlu berusaha meningkatkan nilai diri untuk menjadi peribadi lebih baik terutama kepada pasangan.

Pelantun lagu popular Serumpun itu juga memohon agar dijauhkan daripada lelaki yang merasa berhak memperoleh sesuatu tanpa melakukan sebarang usaha untuk meningkatkan nilai peribadi mereka.

Terdahulu, sedutan rakaman podcast di bahagian Mimi berkongsikan pendapat tersebut dimuat naik semula di platform Threads yang rata-rata pengguna bersetuju dengannya selain turut memuji pemikiran penyanyi itu.

Baca juga: Tular surat ‘rasmi’ Solat Sunat Aidilfitri, Mufti Pahang sahkan palsu