“Minyak pun akak isi” – Wanita terkejut GF adik marah barang ditinggal dalam kereta

Oleh MALAYSIADATELINE

Dalam kebanyakan keluarga, pasti ada seorang adik-beradik yang gemar meminjam barang tanpa banyak soal, daripada benda kecil seperti cas telefon hinggalah ke perkara besar seperti kereta.

Pada awalnya mungkin dianggap remeh, tetapi lama-kelamaan tabiat ini boleh mencetuskan rasa kurang senang.

Seorang wanita berkongsi pengalaman lucu namun mengejutkan apabila dikatakan menjadi punca perselisihan faham antara adiknya dan teman wanita lelaki itu selepas barangan miliknya ditemui di dalam kereta.

Menurut hantaran yang tular itu, teman wanita adiknya berang selepas menemui barangan perempuan dalam kereta tersebut dan menyangka ia milik wanita lain.

Namun pemilik asal barangan itu menjelaskan bahawa kereta berkenaan sebenarnya miliknya, bukan milik pasangan adiknya.

“Hello, tu kereta aku. Suka hati akulah nak letak barang-barang aku,” katanya yang hairan terhadap kemarahan teman wanita adiknya itu.

Dalam respons susulan, wanita itu mengakui tidak menyangka hantarannya akan ‘meletup’ sehingga menjadi perhatian ramai.

Dia turut menjelaskan bahawa adiknya mungkin tidak memberitahu bahawa kereta tersebut ialah kereta kakaknya.

Tambahnya, apa yang membuatkan dia berasa tidak puas hati ialah apabila teman wanita adiknya berpesan supaya jangan meninggalkan barangan dalam kereta lagi.

Wanita itu turut menambah bahawa adiknya bukanlah dalam keadaan mampu untuk menanggung kos kereta kerana minyak dan bayaran tol elektronik juga ditanggung olehnya.

“Minyak kereta pun akak isikan dik. kad tol elektronik korang guna pun kad akak,” katanya sambil menyifatkan sikap kedua-duanya sebagai ‘red flag’.

Baca juga: Netizen Indonesia pelik kenapa Malaysia tenang sangat, tak ada bunyi hon walau tengah jem