Perjanjian persefahaman (MoU) yang ditandatangani Pakatan Harapan (PH) bersama kerajaan Persekutuan bukanlah untuk mengiktiraf kewujudan kerajaan yang merampas mandat rakyat, kata Timbalan Presiden AMANAH, Datuk Seri Salahuddin Ayub.
Sebaliknya beliau berkata, perjanjian tersebut dimeterai kerana memikirkan nyawa rakyat yang menjadi pertaruhan dalam polemik politik yang tidak berkesudahan.
“Dalam isu iktiraf atau tidak iktiraf, actually we are under protest (kami sedang protes). Kita tidak boleh mengiktiraf kerajaan yang ada pada hari ini.
“Tapi kerana nyawa rakyat jadi taruhan, rakyat semakin lapar, kita pilih untuk membuka fikiran kita fokus kepada isu membantu rakyat memerangi Covid-19 ini.
“Yang kedua, fokus perjanjian ini untuk membantu memulihkan ekonomi negara. Dua perkara ini kita nak bagitahu rakyat. Itulah latar belakang kenapa kita menandatangani MoU baru-baru ini,” katanya dalam Borak Dahsyat di Facebook Parti Keadilan Rakyat malam tadi.
Pada masa sama beliau berkata, MoU berkenaan sama sekali tidak mengikat pembangkang dan peranan mereka sebagai medium semak imbang terhadap perjalanan kerajaan.
Malah tegasnya, mereka juga tidak pernah melutut seolah-olah mengharapkan imbuhan dan timbal balas dari persefahaman yang dicapai.
Apa yang diharapkan, tidak berlaku keadaan seperti sebelum ini di mana kerajaan mengumumkan sehingga lapan pakej rangsangan tetapi masih banyak keperluan para doktor yang tidak cukup untuk merawat pesakit.
“Justeru, RM45 bilion yang kita mohon mesti diberikan fokus kepada memerangi Covid-19. Kita tak nak dia umum sampai lapan kali, mencecah sehingga RM400 bilion tapi bila buka Pusat Pemberian Vaksin (PPV), banyak keperluan tak cukup.
“Ada doktor jumpa kita minta sumbangan komputer, karpet, kerusi. Kita derma kepada mereka sebab kita ada sedikit peruntukan. Tapi mana pergi bilion-bilion bantuan kerajaan? Sebab itu kita minta suntikan RM45 bilion untuk rakyat. Kita akan pantau keluar masuk aliran yang digunakan,” ujarnya lagi.