Muda masuk gelanggang PRN Melaka

Oleh ARIF ATAN

Parti Ikatan Demokratik Malaysia (Muda) memutuskan untuk meletakkan calon bertanding dalam Pilihan Raya Negeri (PRN) Melaka, pada 20 November ini.

Presidennya, Syed Saddiq Syed Abdul Rahman yang juga Ahli Parlimen Muar mengumumkan hal tersebut pada sidang media di Bangunan Merah, Stadthuys, Melaka, hari ini.

Menurutnya, Muda pada masa ini dalam proses berunding dengan parti dari blok pembangkang iaitu Pakatan Harapan (PH) bagi tujuan agihan kerusi.

“Muda telah buat pendirian tetap untuk bertanding pada pilihan raya negeri ini. Kita akan berunding dengan parti-parti pembangkang dan akan mengumumkan perkara ini bersama selepas tempoh rundingan tamat.

“(Soal pembahagian kerusi) kita akan runding bersama dengan blok pembangkang dan akan diumumkan bersama selepas ini,” ujar bekas Ketua Angkatan Bersatu Anak Muda (Armada) Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu) itu lagi.

Untuk rekod, Syed Saddiq yang juga bekas Menteri Belia dan Sukan merupakan satu-satunya Ahli Parlimen Muda.