Naim Daniel dah ‘cacat’, jari meletup kena mercun bola- “saya tak sempat baling”

Oleh WAN SITI AMINAH

Gara-gara bermain mercun bola, penyanyi dan pelakon popular, Naim Daniel hampir kehilangan jari setelah terkena percikan bahan letupan itu.

Akibat kejadian tersebut, Naim mengalami kecederaan kerana mercun bola itu meletup di tangannya sebelum ia sempat dicampak.

Menerusi gambar yang dimuat naik oleh Naim di laman Instagram, kesan kecederaan dapat dilihat di tapak tangan, jari serta dahinya.

Anggota badannya dibalut akibat kecederaan itu, Naim dipercayai menerima rawatan di klinik berdekatan dengan rumahnya.

Mengambil iktibar atas kejadian yang menimpanya, Naim berharap orang ramai berhati-hati ketika bermain mercun.

“Kejadian berlaku cukup pantas. Saya nampak sumbu mercun masih panjang dan belum sempat saya campak mercun bola, tiba-tiba ia meletup

“Memandangkan mercun meletup depan muka, dahi saya mengalami luka kecil dan kuku jari kanan saya pecah.

“Jangan main mercun. Hati-hati dengan keadaan sekeliling kalau tidak jadi macam saya. Saya pun dah main bunga api sahaja sekarang ini,” katanya.

Difahamkan, kejadian itu berlaku ketika Naim bermain mercun bersama ahli keluarga saat pulang beraya ke kampung halamannya di Melaka.

Baca juga: Masjid 99 kubah lambang nama Asmaul Husna