Laporan mengenai seorang wanita yang cedera parah sehingga keguguran akibat dipukul oleh suami dengan penyangkut baju, getah paip, batang besi langsir serta penyapu telah berjaya mencuri perhatian ramai baru-baru ini.
Mana tidaknya, pelaku dalam kes itu dikatakan adalah individu sama yang dijatuhkan hukuman penjara 10 tahun kerana mendatangkan kecederaan parah ke atas bekas isteri ketiganya, Jahidah Nordin sehingga koma pada Mei 2021.
Hal ini membuatkan adik kepada Jahidah iaitu Fazariah Nordin kembali bersuara untuk membuat pendedahan berhubung sikap sebenar bekas abang iparnya iaitu Rosmaini Abdul Raof, 40, yang didakwa sebagai individu licik.
Menerusi perkongsian dimuat naik di akaun Facebook miliknya, Fazariah memaklumkan bahawa Rosmaini sengaja menghubunginya melalui panggilan telefon berbanding menghantar pesanan di Whatsapp kerana tidak mahu ada bukti bertulis.
“Dulu kau cakap aku fitnah. Tetapi kau telefon beritahu yang Kak Jahidah dekat unit rawatan rapi (ICU). Kau sendiri cakap ada bergaduh dan tolak Kak Jahidah, terus hidung keluar darah. Tolak sedikit boleh koma seumur hidup ke?
“Kau licik, tak nak hantar Whatsapp. Tetapi telefon terus supaya tiada bahan bukti pengakuan yang kau buat dekat kakak aku. Kau sampai sekarang menafikan. Tetapi tengoklah, perangai kau memang tak berubah,” kesalnya dalam hantaran itu.
Dalam perkongsian sama, Fazariah turut mengaitkan bekas abang iparnya itu dengan perbuatan mistik dan mendakwa perkara tersebut bukanlah hanya sekadar tuduhan sebaliknya berdasarkan ‘benda’ yang ditemui di rumahnya.
Fazariah juga mengakui bahawa kakaknya bukanlah satu-satunya mangsa yang dicederakan dengan teruk namun Rosmaini sering menggunakan taktik ugutan sehingga perbuatan dilakukannya selama ini dapat disembunyikan.
“Kalau mahkamah masih nak beri peluang macam ini, tak tahulah berapa ramai lagi mangsa kau. Harap kamu semua ingatlah muka dia ini. Dia tak ‘kosong’ ya sebab dekat rumah yang mereka tinggal, kami ada jumpa benda dekat atas grill.
“Dia memang ‘pemakai’. Kami bukan nak beragak-agak tetapi orang kampung yang kenal dengan keluarga dia juga cakap benda sama. Kau ingat kami tak tahu benda paling jijik yang kau ugut kakak Jahidah? Mungkin benda macam ini juga kau ugut mangsa-mangsa lain,” kesalnya.
Baca juga: “Masih tak balik jam 5 petang” – Isteri sangka suami OT, rupanya gigih kutip tin cari rezeki