Nanas Malaysia kini dieksport ke New Zealand, bakal jana RM4.32 juta setahun

Oleh MALAYSIADATELINE

Industri nanas negara mencatat satu lagi pencapaian apabila nanas segar Malaysia kini berjaya menembusi pasaran New Zealand, sekali gus membuka peluang eksport baharu kepada pengusaha tempatan.

Menteri Pertanian dan Keterjaminan Makanan, Datuk SeMohamad Sabu berkata, kejayaan itu membuktikan hasil pertanian negara semakin mendapat kepercayaan serta pengiktirafan di peringkat antarabangsa.

Beliau berkata demikian ketika menyempurnakan Majlis Pelepasan Kontena Eksport Nanas Segar Malaysia ke New Zealand yang berlangsung di Lembaga Pertubuhan Peladang, Kuala Lumpur.

Menurutnya, Malaysia kini menghasilkan lebih 530,000 metrik tan nanas setiap tahun dengan varieti premium seperti MD2, Josapine dan N36 yang mempunyai kualiti tinggi untuk bersaing di pasaran global.

“Ini adalah hasil usaha bersama pelbagai pihak termasuk Lembaga Perindustrian Nanas Malaysia (LPNM), Jabatan Pertanian, MAQIS, pengeksport dan pemain industri yang bekerja keras memastikan nanas Malaysia memenuhi standard ketat yang ditetapkan New Zealand,” katanya.

Beliau memaklumkan permintaan awal dari negara itu dianggarkan sekitar satu kontena sebulan dengan nilai eksport mencecah kira-kira RM4.32 juta setahun.

Katanya, perkembangan tersebut bukan sahaja membuka pasaran baharu kepada pengusaha nanas tempatan, malah membantu memperkukuh industri nanas negara dalam usaha mencapai sasaran nilai eksport RM2 bilion menjelang tahun 2027.

Mohamad turut berharap lebih banyak pasaran premium antarabangsa dapat diterokai pada masa depan sekali gus mengangkat nama Malaysia sebagai antara pengeksport nanas berkualiti di dunia.

“Semoga lebih banyak hasil pertanian negara dapat menembusi pasaran luar dan memberi manfaat kepada petani, usahawan serta ekonomi negara secara keseluruhan,” katanya.

Baca juga: Isu Rohingya jadi fokus perbincangan Anwar dengan PM Bangladesh, ini pendirian Malaysia