Negara jadi semakin ‘domestik’, hanya bergantung pada kuasa beli rakyat – pakar ekonomi

Oleh KIM SYAZIE

Pakar ekonomi, Dr Nungsari Ahmad Radhi berkata, negara sudah lama berhadapan dengan ekonomi yang meletihkan apabila dalam tempoh 15 tahun, pendapatan negara hanya banyak bergantung kepada permintaan dalam negara berbanding menjadi pengeksport ke negara luar.

Beliau menyifatkan Malaysia semakin menjadi ‘domestik’ apabila terpaksa bergantung kepada kuasa beli rakyat Malaysia untuk menyumbang kepada pertumbuhan ekonomi dalam negara.

Namun katanya, pertumbuhan negara tidak dapat berkembang lebih pesat apabila kerajaan tidak mampu mewujudkan banyak peluang pekerjaan yang berupaya membayar gaji yang tinggi kepada rakyat Malaysia untuk membolehkan kuasa membeli itu semakin besar.

“Disebabkan 8/10 sektor ekonomi negara tidak memerlukan kemahiran asas, ini menyebabkan majikan tidak boleh membayar bayaran yang tinggi kepada pekerja.

“Tetapi kuasa beli rakyat Malaysia bergantung pada pendapatan mereka. Dan jika pendapatan makin berkurang, jadi perniagaan apa yang nak bergantung pada kuasa beli ini?

“Sebab itu sekarang sektor peruncitan dan borong, hotel dan pengangkutan melebihi 55 peratus dari ekonomi negara. Pengilangan dan industri serta eksport pula jadi semakin kecil,” katanya mengulas tentang ekonomi negara pasca Covid-19 dalam Konvensyen Nunji hari ini.

Nangsuri berkata, enjin ekonomi negara memerlukan sedikit keterbukaan kerana lama kelamaan jika dilihat seperti terlalu tertutup dan terkongkong, Malaysia tidak mampu menjana pertumbuhan atau produk yang boleh dipasarkan di negara luar.

Menurutnya, selagi Malaysia menjadi terlalu domestik, kemungkinan negara tidak akan dapat melahirkan produk dan servis yang mampu bersaing dengan negara-negara jiran sekaligus menutup peluang membina syarikat yang boleh memberikan gaji berpatutan kepada rakyat Malaysia.