Netizen terharu keluarga India ziarah pusara anak mualaf, video iring jenazah kembali tular

Oleh WAN SITI AMINAH

Satu rakaman memaparkan kehadiran sebuah keluarga India yang menziarahi pusara di tanah perkuburan Islam terletak di Batu Caves, Selangor telah berjaya meruntun jiwa orang ramai baru-baru ini.

Mana tidaknya, rakaman yang dikongsikan di platform media sosial TikTok itu menjadi bukti bahawasanya ikatan kekeluargaan serta kasih sayang terutamanya antara ibu dan anak kekal utuh merentasi perbezaan agama.

Rakaman berdurasi 58 saat itu turut memperlihatkan ahli keluarga arwah menabur bunga dan daun pandan di atas pusara sebelum menuangkan air mawar serta dipercayai turut mengirimkan doa mengikut kepercayaan mereka.

Namun tindakan seorang wanita dipercayai ibu kepada arwah yang tidak dapat menahan sebak sambil mencium dan mengusap batu nisan anak lelakinya telah mengundang pilu rakyat Malaysia.

Difahamkan, arwah yang dikenali sebagai Arjuna itu telah menghembuskan nafas terakhirnya pada 18 Oktober 2024 namun punca kematiannya tidak didedahkan dalam hantaran TikTok dimuat naik oleh ahli keluarganya.

Penularan rakaman itu membawa kepada penemuan video dimuat naik tahun lalu di akaun sama memaparkan ahli keluarga Arjuna ‘turun padang’ dengan membantu menguruskan jenazah arwah hingga ke liang lahad.

Jenazah Arjuna bukan sahaja diusung daripada surau malah beberapa individu dipercayai adik-beradik arwah turut membantu menggali sendiri kubur bertujuan untuk mengebumikan jenazahnya.

Tinjauan di ruangan komen perkongsian itu mendapati rata-rata pengguna TikTok meluahkan rasa terharu kerana dapat menyaksikan kasih sayang keluarga Arjuna yang tidak berbelah bahagi meskipun berbeza agama.

Ramai juga pengguna tampil memberi semangat buat ibu Arjuna dan menyakinkan keluarganya untuk tidak lagi bersedih kerana arwah kini sudah tenang selain turut mendoakan urusannya dipermudahkan.

“Amma (ibu), dalam Islam kami percaya siapa yang peluk agama Islam dia masuk dalam keadaan suci seperti bayi. baru lahir. Semestinya dia sedang berbahagia sekarang menunggu masa ke syurga. Amma jangan sedih ya,” kata seorang pengguna.

“Kasih sayang ibu kepada anak yang tiada penghujung. Terima kasih Amma dan keluarga sebab tetap sayangkan Arjun walaupon dia berbeza agama. Semua agama itu suci, anak Amma sudah tenang dekat sana. Rasa hormat dengan keluarga ini.” Kongsi pengguna lain.

Baca juga: Keluar dewan SPM hari pertama, pelajar iring jenazah ayah sampai ke liang lahad