Identiti seorang peguam yang mencabar Enakmen Kanun Jenayah Syariah Kelantan, Nik Elin Zurina Nik Abdul Rashid kini terdedah.
Menerusi sekeping sijil keahlian yang tular, tertera nama Nik Elin yang didaftar sebagai ahli Muafakat Nasional. Turut terlihat adalah nombor keahliannya.
Sijil itu juga ditandatangani Tan Sri Annuar Musa selaku Presiden MN.

MN ialah sebuah kerjasama antara dua parti politik Pas dan Umno – yang terbentuk selepas sebahagian besar ahli Perikatan Nasional keluar meninggalkan Pakatan Harapan melalui Langkah Sheraton.
Susulan tersebar keratan sijil tersebut, timbul spekulasi mendakwa ada unsur sabotaj untuk mencemar nama Kerajaan Perpaduan kerana Nik Elin dikatakan “sekapal” dengan pembangkang.
Pembangkang juga kini hebat menyerang kerajaan menggunakan isu tersebut untuk menimbulkan persepsi bahawa kerajaan tidak pertahankan perundangan syariah dalam negara.
Petisyen mencabar enakmen tersebut dibuat semasa pemerintahan Perikatan Nasional lagi, namun selepas Kerajaan Perpaduan memerintah ia dijadikan isu oleh pembangkang.
Media melaporkan, Nik Elin Zurina memohon Mahkamah Persekutuan mengisytiharkan supaya 20 seksyen kesalahan jenayah syariah dalam Enakmen Kanun Jenayah Syariah (I) Kelantan 2019 terbatal dan tidak sah.
Peruntukan itu termasuk Seksyen 11 (memusnahkan tempat ibadat), Seksyen 13 (menjual atau memberi anak kepada orang bukan Islam atau orang Islam yang keji akhlaknya) dan Seksyen 14 (liwat).
Peruntukan lain termasuk Seksyen 15 (hukuman liwat), Seksyen 16 (seks dengan mayat), Seksyen 17 (seks dengan bukan manusia) dan Seksyen 31 (gangguan seksual).