Setiap bulan, ramai rakyat Malaysia menggunakan peluang bantuan Penghargaan Sumbangan Asas Rahmah (SARA) RM100 untuk berbelanja.
Namun, masih ada kedai yang sengaja memberi alasan kononnya mesin pengimbas rosak, sekali gus menyusahkan pelanggan yang ingin menebus bantuan tersebut.
Seorang pengguna Threads, Izzati berkongsi pengalaman kurang menyenangkan ketika cuba menggunakan bantuan RM100 kerajaan di sebuah premis perniagaan.
Menurutnya, ketika berada di kedai berkenaan yang turut dipenuhi beberapa pelanggan lain, pekerja di kaunter memaklumkan bahawa mesin pengimbas MyKad tidak berfungsi.
“Berbekalkan muka aku yang garang, aku tanya dia ‘Betul rosak?’. Dia dengan nada masam jawab ‘Haah, tak dengar ke?’,” tulisnya di Threads.
Tidak berpuas hati dengan layanan tersebut, Izzati kemudian mengajukan soalan lain dan menyebabkan pekerja tersebut mengeluarkan mesin berkenaan.
“Kau tahu aku buat apa? Aku cakap “Kalau saya cakap yang saya ni penguatkuasa, mesin tu rosak tak?”.
“Terus dia keluarkan mesin tu “Ohhh boleh scan lah”. Haaaaa kau jangan nak mengencing aku ek,” kongsinya.
Izzati menegaskan pekerja berkenaan tidak sepatutnya memandang rendah pelanggan atau memberi alasan tidak munasabah.
Dalam hantaran susulan, Izzati berkata dia tidak akan mendedahkan lokasi atau nama kedai berkenaan kerana tiada bukti kukuh dan bimbang berdepan tindakan undang-undang.
Menjawab pertanyaan netizen yang menyangka beliau seorang penguat kuasa, Izzati menjelaskan kenyataannya hanyalah soalan retorik dan bukan dakwaan.
“Jadi tak cakap saya penguatkuasa pun, hanya sekadar soalan. Saya tahu je Seksyen 170 Kanun Keseksaan menyamar sebagai penjawat awam,” jelasnya.
Baca juga: Gara-gara makanan tak sedap, tukang masak berbalah dengan pelanggan maut ditikam