Operasi mencari dihentikan, mangsa jatuh parit rupanya dah balik rumah mandi!

Oleh WAN SITI AMINAH

Misteri kehilangan seorang lelaki yang dikatakan jatuh di dalam parit akhirnya terjawab apabila mangsa tiba-tiba muncul di tempat kejadian.

Padahal, anggota Angkatan Pertahanan Awam Malaysia (APM) telah mengambil masa lebih dari sejam untuk mencari mangsa di dalam lubang sedalam 3.65 meter.

Tidak hanya berjaya menyelamatkan diri sendiri, mangsa juga sempat pulang ke rumah untuk membersihkan diri sebelum kembali semula ke lokasi kejadian.

Bukan cerita rekaan, kejadian itu benar-benar berlaku di kawasan loji kumbahan yang terletak berhampiran dengan sebuah sekolah rendah di Kuala Lumpur.

Difahamkan, mangsa warganegara Myanmar itu sedang memotong rumput sebelum terjatuh selepas terpijak zink yang menutup lubang loji kumbahan berkenaan.

Lelaki berusia berusia 27 tahun itu disangkakan hilang sebelum tiba-tiba muncul di sebalik orang ramai ketika operasi pencariannya sedang dijalankan oleh pihak APM.

Pegawai APM Kuala Lumpur, Mejar (PA) Ahmad Junaidi Dukut Soeharto berkata, pihaknya menerima panggilan kecemasan berhubung kejadian itu jam 5.51 petang.

Seramai 14 anggota bersama beberapa jentera dari APM Kuala Lumpur dan Gombak kemudian dikejarkan ke lokasi yang terletak di Jalan Raja Laut, lapor Berita Harian.

“Sebaik tiba, kami dimaklumkan seorang mangsa terjatuh dalam longkang yang juga kawasan kumbahan sedalam 3.65 meter.

“Ketika pencarian mangsa dilakukan lebih satu jam di dalam kawasan loji, seorang lelaki warga Myanmar berusia 27 tahun hadir di lokasi.

“Lelaki itu memaklumkan dia adalah mangsa yang terjatuh ke dalam longkang semasa memotong rumput selepas terpijak zink yang menutup lubang kumbahan,” katanya memetik Berita Harian.

Menurut Ahmad Junaidi, mangsa sempat berpaut kepada mesin memotong rumput ketika terjatuh dan memanjat sendiri ke atas dalam usaha untuk menyelamatkan diri.

Lelaki warganegara Myanmar berkenaan bagaimanapun didapati tidak mengalami sebarang kecederaan akibat daripada kejadian yang mendebarkan itu.

“Mangsa memberitahu dia segera berpaut dengan mesin memotong rumput untuk memanjat naik ke atas sebelum segera balik ke rumah dan membersihkan diri.” Jelasnya.

Susulan daripada penjelasan yang dibuat mangsa, pihak (APM) kemudian menghentikan operasi pencarian tersebut kira-kira pada pukul 7.30 malam semalam.

Baca juga: Pasangan warga emas buat GrabFood sekali, netizen pula sayu lihat orang dah berusia masih bekerja