Pelakon, Azar Azmi tidak dapat menahan sebak apabila mengenang kembali detik mengharukan sebelum ditahan oleh pihak polis bagi membantu siasatan kes penipuan melibatkan suaminya.
Menerusi perkongsian dalam program audio siar atau ‘podcast’, Azar mengakui bahawa kehidupan yang dijalani bersama anak-anak sememangnya susah terutama daripada segi kewangan.
Ketika itulah rakan artis iaitu pelakon, Ozlynn Wati hadir menghulurkan bantuan secara ‘diam-diam’ dengan memberikan sejumlah wang kepada Azar untuk membeli segala keperluan anaknya.
Menurut Azar, Ozlynn yang juga merupakan isteri kepada pelawak dan penyampai radio iaitu Johan itu merupakan individu terawal yang mengetahui tentang masalahnya sebelum ditahan polis.
“Masa susah, ada seseorang yang tahu cerita aku sebelum diambil (ditahan polis) iaitu Ozlynn Wati. Aku sempat bercakap dengan dia, cerita semua kronologi kes. Masya-Allah, kami dapat bercakap.
“Dia berikan sedikit zakat (bantuan) dekat aku. Jadi aku boleh beli lampin pakai buang dan susu untuk anak. Dapat beri anak-anak makan ayam goreng sebab mereka memang suka,” kongsinya.
Sedutan rakaman podcast disiarkan di platform Youtube yang memaparkan pendedahan dibuat Azar itu turut dikongsikan di akaun TikTok milik program Sembang Seram.
Pemilik nama sebenar Siti Azar Ameerah Azmi itu mengakui bantuan diberikan cukup bermakna kerana keadaan kewangannya yang bukan sahaja tidak mampu memenuhi kemahuan bahkan keperluan asas buat anak.
Tinjauan dalam ruangan komen perkongsian itu mendapati rata-rata pengguna TikTok memuji sikap Ozlynn dan Johan yang sering kali ‘kantoi’ menghulurkan bantuan secara diam-diam.
Ramai juga pengguna mengirimkan doa untuk Ozlynn atau nama sebenarnya, Rozlinawaty Ismail agar dilimpahkan rezeki kerana telah membantu orang yang berada dalam kesulitan.
“Johan dan Ozlynn, pasangan suami isteri itu memang baik. Banyak kebaikan yang mereka buat. Tetapi mereka tak tunjuk pun,” kata seorang pengguna yang kagum dengan sikap selebriti terbabit.
“Besar pahala Ozlynn Wati asbab membantu orang dalam kesulitan. Zakat yang diberi, dapat Azar beli keperluan anak-anak. Semoga Allah limpahkan rezeki berpanjangan buat Ozlynn. Amin.” Kongsi pengguna lain.
Baca juga: Ahli ekonomi jangka emas akan naik lagi tinggi cecah RM700 segram hujung tahun ini