Sebuah restoran popular yang menjual hidangan berasaskan sate telah mencetuskan kontroversi selepas mendedah ‘resipi’ sos perapannya, baru-baru ini.
Mana tidaknya, pengusaha restoran itu mengaku sate jualan mereka dicelup dalam balang sos perapan yang tidak pernah dibersihkan sejak lebih setengah abad lalu.
Bayangkan, kakitangan bertugas akan menuang sos perapan baharu ke atas sisa lebihan tanpa mencuci balang tersebut pada setiap hari selepas restoran ditutup.
Rahsia restoran sate itu dibongkarkan oleh satu rancangan televisyen di mana pemilik mendedahkan bagaimana premis tersebut masih bertahan sehingga kini.
Mengundang perbincangan hangat, kedai makan Abe-Chan itu terletak di kawasan tumpuan beli belah di daerah Azabu Juban, Tokyo, Jepun, lapor Odditycentral.com.
Pemilik memaklumkan, salah satu rahsia kejayaan restoran yang mula diasaskan pada tahun 1933 itu adalah balang sos perapan yang disalutkan dengan gelatin.
Akui pemilik generasi ketiga Abe-chan itu, balang yang tidak pernah dibersihkan sejak enam dekad lalu telah menjadikan sos perapan sedap dan kaya dengan rasa.
Menerusi tangkap layar rakaman rancangan televisyen itu, balang tersebut dilihat telah dikelilingi dengan sisa sos tumpah yang mengeras sepanjang tempoh tersebut.
Restoran Abe-Chan itu asalnya diasaskan oleh datuk pemilik terkini dan balang sos perapan sate tersebut telah wujud sejak perniagaan berkenaan mula dijalankan.
Pemilik yakin, tradisi menambah sos perapan sate tanpa membersihkan balang selama tiga generasi ini telah menyumbang kepada kejayaan perniagaan keluarga.
Kakitangan produksi rancangan televisyen kemudian menjalankan satu ekperimen di mana air bersih ditambahkan ke dalam bekas yang penuh dengan air hitam.
Mengejutkan, kru produksi mendapati kandungan asal di dalam bekas air hitam itu nampaknya menghilang selepas kira-kira sebanyak 365 kali air bersih ditambah.
Eksperimen ini berjaya membuktikan bahawa balang sos perapan sate itu rupa-rupanya tidak mengandungi lebihan yang sama daripada 60 tahun dahulu.
Beberapa pelanggan restoran Abe Chan juga mengaku tidak pernah mengalami sebarang masalah kesihatan selepas menikmati sate tersebut selama bertahun-tahun.
Baca juga: “Berhenti sokong Palestin”, rupanya ini punca pusat beli belah di JB dikosongkan