Pegawai penguat kuasa antara 17 penjawat awam ditahan di spa songsang

Oleh MALAYSIADATELINE

Seramai 201 individu ditangkap di sebuah pusat spa dan kesihatan membabitkan tujuh pekerja premis, 24 warga asing serta selebihnya adalah warga tempatan termasuk 17 penjawat awam berusia antara 19 hingga 60 tahun.

Mereka ditahan dalam serbuan di sebuah premis di Chow Kit, Kuala Lumpur semalam yang membongkar kegiatan di lokasi dipercayai menjadi tempat lelaki songsang berkumpul dan melakukan aktiviti tidak bermoral.

Operasi itu dijalankan oleh Bahagian D7 (Kongsi Gelap, Judi dan Maksiat) Ibu Pejabat Polis Kontinjen (IPK) Kuala Lumpur bersama Dewan Bandaraya Kuala Lumpur dan Jabatan Agama Islam Wilayah Persekutuan (Jawi).

Difahamkan, serbuan yang dimulakan pada sekitar jam 8 malam itu dibuat susulan risikan pihak berkuasa selama dua minggu di premis beroperasi di tingkat dua dan tiga di sebuah bangunan rumah kedai.

Pemeriksaan mendapati tingkat bawah premis tersebut telah diubah suai sebagai gimnasium manakala ruangan di tingkat atas pula dijadikan sauna dan jakuzi yang menjadi tempat tumpuan pengunjung, lapor Kosmo.

Namun perkara yang cukup mengejutkan adalah premis tersebut turut menyediakan bilik khas digelarkan sebagai ‘dark room’ dilengkapi dengan lapisan tilam nipis bewarna hitam untuk pengunjung melampiaskan nafsu.

Siasatan mendapati bahawa sebelum ahli pusat tersebut dibenarkan naik ke tingkat atas, mereka diminta untuk menanggalkan pakaian terlebih dahulu dan diberikan tuala berwarna putih.

Ketika serbuan dijalankan, beberapa pengunjung didapati sedang menikmati jakuzi dan sauna di spa tersebut tanpa seurat benang sebelum menyedari kehadiran pihak berkuasa di premis berkenaan.

Timbalan Ketua Polis Kuala Lumpur, Datuk Mohd. Azani Omar berkata pihaknya turut merampas kondom dan beberapa barangan berkaitan dengan aktiviti tidak bermoral dalam serbuan berkenaan.

Difahamkan, antara penjawat awam yang ditahan adalah melibatkan doktor pakar, guru, Timbalan Pendakwa Raya, Pegawai Tadbir Diplomatik serta pegawai di agensi penguatkuasaan.

Menurut Mohd. Azani, premis tersebut dipercayai menjalankan operasinya setiap hari sejak lapan hingga 10 bulan lalu dan disyaki mempromosikan aktivitinya melalui perkongsian di platform media sosial.

“Pusat itu mengenakan caj RM35 bagi setiap kemasukan, dengan tambahan RM10 sebagai yuran pendaftaran untuk ahli baharu,” katanya kepada wartawan yang menyertai serbuan itu semalam memetik laporan Kosmo.

Jelasnya, kes kini disiasat di bawah Seksyen 377B Kanun Keseksaan kerana persetubuhan luar tabii dan mereka yang ditahan dibawa ke Ibu Pejabat Polis Daerah Dang Wangi untuk ujian saringan air kencing dan siasatan lanjut.

Baca juga: Shamsul Iskandar pakai baju lokap SPRM, tangan bergari