Lelah di badan masih tidak lagi surut, seorang pekerja ‘offshore’ terkejut apabila kepulangannya ke darat disambut dengan permintaan cerai daripada isteri yang disayanginya.
Tiada angin, tiada ribut, keadaan malah bertambah keruh selepas isteri yang juga ibu kepada dua anaknya itu tiba-tiba pergi ke mahkamah untuk menuntut harta sepencarian sebanyak 50 peratus
Sukar untuk menerima kenyataan, pemuda itu tidak menyangka bahawa gaji sebagai pekerja offshore sebanyak RM50,000 sebulan rupa-rupanya tidak menjamin kebahagiaan rumah tangga.
Oleh kerana lelaki itu bekerja di pelantar minyak untuk mencari rezeki yang halal, dia dan isterinya terpaksa hidup berjauhan dan menjalani perhubungan jarak jauh (PJJ) dari awal perkahwinan.
Meskipun dilimpahkan dengan rezeki yang murah, bibit-bibit masalah itu mula muncul apabila sang isteri enggan melayan kemahuan dan keperluan suami setiap kali pekerja offshore itu pulang ke rumah.
Bayangkan, salaman lelaki itu juga tidak pernah disambut ketika tiba di pintu rumah dan kepulangannya juga malah disambut dengan perilaku kasar serta kata-kata makian.
Mula mengalah setelah gagal memperbaiki rumah tangga mereka, lelaki tersebut sudah tiada pilihan dan membuat keputusan untuk mengikut kemahuan isterinya yang mahu berpisah.
Menyangka masalah sudah selesai, bekas isterinya itu sekali lagi membuat kejutan dengan permohonan tuntutan harta sepencarian sebanyak 50 peratus sejurus mereka sah bercerai.
Tidak cukup dengan itu, bekas isterinya juga meminta wang tunai sebanyak RM90,000 sebagai mutaah, RM7,000 sebagai nafkah eddah dan juga nafkah dua anak yang bernilai RM6,000.
Mengejutkan, kes tersebut difahamkan masih sedang dibicarakan di mahkamah dan butiran kejadian itu dikongsikan oleh peguam yang mewakili suami di platform media sosial.
“Kisah suami tersakiti 2023. Kesian nasib abang ini,” tulis kapyen video tular yang dimuat naik oleh peguam tersebut menerusi akaun TikTok peribadi miliknya, @nuraienakmal.
Baca juga: “Dasar kebulur perhatian!” – Puteri Sarah berang ‘pihak sana’ masih sibuk hal dengan bekas suami