Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim memaklumkan syarikat platform pusat data hiperskala terkemuka, AirTrunk akan menambah pelaburan sebanyak RM12 bilion di Malaysia pada tahun ini.
Ini sekali gus menjadikan jumlah keseluruhan pelaburan komited syarikat itu mencecah RM27 bilion.
Menurut Anwar, perkara itu dimaklumkan ketika beliau menerima kunjungan hormat daripada Pengasas dan Ketua Pegawai Eksekutif AirTrunk, Robin Khuda bersama delegasi syarikat tersebut semalam.
“AirTrunk akan meningkatkan pelaburan sebanyak RM12 bilion lagi pada tahun ini menjadikan pelaburan komited berjumlah RM27 bilion di Malaysia,” katanya menerusi perkongsian di media sosial.
Dalam pertemuan itu, perbincangan turut menyentuh perkembangan semasa pembinaan pusat data AirTrunk di negeri Johor serta usaha memperkukuh rangka kerja lokalisasi bagi meningkatkan penyertaan syarikat tempatan dalam rantaian nilai industri pusat data.
“Komitmen pelaburan ini amat dialu-alukan dan diyakini akan memperkukuh lagi kedudukan Malaysia sebagai hab digital serantau yang berdaya saing, progresif dan berkeupayaan tinggi,” jelas beliau.
Anwar turut berkata keputusan syarikat teknologi global itu mencerminkan keyakinan pelabur terhadap potensi Malaysia sebagai rakan strategik dalam pembangunan ekonomi digital.
“Keputusan ini mencerminkan keyakinan para pelabur, terutamanya syarikat teknologi global akan kelebihan Malaysia sebagai rakan strategik ketika kerajaan memperkemas dasar serta tahap kecekapan pembangunan dan operasi pusat data,” katanya lagi.
Baca juga: “Habis aku nak balik macam mana!”- Pemuda terkedu baca nota ‘pencuri’ helmet