Tular kerana menangis setelah seharian tidak makan, seorang penuntut institusi pengajian tinggi (IPT) membuat permohonan maaf.
Berlaku salah faham, penuntut IPT itu tidak tahu bahawa pihak universiti sebenarnya telah menyediakan makanan buat pelajar.
Sebelum ini menyoal tanggungjawab pihak universiti dalam menjaga kebajikan pelajar, pemuda itu mengakui kesilapannya.
Memuat naik video di laman aplikasi TikTok, pelajar itu memohon maaf kepada pihak pengurusan atas ketelanjurannya dalam berkata-kata.
“Dalam video ini saya ingin meminta maaf banyak-banyak kepada pihak pengurusan universiti kerana sebelum ini saya tersalah faham.
“Walaupun kafe tidak dibuka, tapi pihak universiti telah menyediakan makanan kepada pelajar yang ada masalah kewangan atau masalah untuk mendapatkan sumber makanan.
“Pihak universiti menyediakan makanan dan minuman kepada pelajar yang mempunyai masalah tersebut. Cuma saya tidak tahu tentang perkara itu,” katanya.
Terdahulu, pelajar berkenaan telah memuat naik video yang meluahkan kesedihannya kerana tidak dapat makan akibat kafe ditutup.
Sambil menangis, pelajar itu terharu apabila ada insan prihatin yang membantu membungkuskan makanan tanpa meminta sebarang bayaran.
Baca juga: Cafe universiti tutup, pelajar menangis kerana seharian tak makan