Pembangkang desak isu harga barang dibahas terbuka di Dewan, bukan dirunding di kamar khas

Oleh KIM SYAZIE

Dewan Rakyat hari ini memutuskan untuk membincangkan isu kenaikan harga barangan asas di kamar khas Parlimen pada jam 2.30 petang ini.

Ia selepas Datuk Seri Salahuddin Ayub (PH-Pulai) mengemukakan usul agar isu kenaikan harga barangan asas dibahas di Dewan Rakyat kerana pencatutan harga tanpa kawalan menjejaskan kos sara hidup selain memberi tekanan kepada pengguna dan peniaga kecil.

“Saya terima usul Ahli Parlimen Pulai pada Selasa, 30 November. Usul adalah seperti yang dibaca Pulai bagi membolehkan ia ditimbangkan oleh majlis Dewan.

“Saya membenarkan usul ini untuk dirundingkan di kamar khas pada 2.30 petang,” kata Timbalan Speaker Dewan Rakyat, Datuk Rashid Hasnon yang menjawab usul Salahuddin di Parlimen hari ini.

Bagaimanapun keputusan dibacakan itu tidak dipersetujui Ahli-ahli Parlimen pembangkang.

Datuk Seri Anwar Ibrahim (PH-Port Dickson) mendesak agar Dewan Rakyat membenarkan isu kritikal yang dihadapi rakyat ketika ini, dibahaskan secara terbuka di dalam Dewan dan bukannya di kamar khas Parlimen.

Beliau berkata, perbahasan perlu bagi memastikan empat kementerian utama yang bertanggungjawab terhadap kenaikan harga barang, dapat memberi penjelasan sewajarnya.

“Yang Dipertua Dewan harus faham, ini bukan melibatkan satu kementerian sahaja. Isu ini melibatkan kementerian pertanian, kementerian kewangan, dan ekonomi. Sebab itu dalam konteks ini, tak boleh (dibincang) di kamar khas kerana ia terbatas.

“Saya gesa kaji semula keputusan untuk membolehkan perbahasan dalam keadaan rakyat menanti tindakan segera yang tidak boleh dilakukan oleh hanya satu kementerian,” tegasnya.

Perkara tersebut turut disokong oleh Datuk Seri Mahfuz Omar (PH-Pokok Sena) dan Datuk Hasanuddin Mohd Yunus (PH-Hulu Langat) yang menegaskan bahawa perbincangan dua hala dengan membabitkan semua kementerian terlibat, adalah penting.

Sementara itu, Datuk Seri Saifuddin Nasution (PH-Kulim Bandar Bharu) bangkit dan berkata, isu yang serius seperti ini tidak sepatutnya hanya dibangkit dan dibincang di kamar khas.

Beliau juga mendesak Speaker membuat ketetapan segera tanpa berselindung agar dapat memberi gambaran bahawa institusi Parlimen memberi perhatian tinggi terhadap isu ini.

Mohd Rashid bagaimanapun memberitahu, mengikut Peraturan 18(1), walaupun usul dikemuka Ahli Parlimen Pulai dibawa ke kamar khas, namun ia masih lagi boleh dibahas dan semua Ahli Dewan turut dibenarkan hadir.