Pembangkang masih terpekik macam dalam pasar, soal Hadi

Oleh ARIF ATAN

Presiden Pas, Datuk Seri Abdul Hadi Awang membangkitkan persoalan sama ada blok pembangkang lantang bersuara di Parlimen seperti kelazimannya susulan pemeteraian memorandum persefahaman (MoU) antara kerajaan dan Pakatan Harapan (PH) semalam.

Ahli Parlimen Marang tersebut mengibaratkan sikap pembangkang sebelum ini yang menimbulkan suasana bising dalam sidang Dewan Rakyat seperti pasar.

“Adakah pembangkang masih terpekik macam dalam pasar selepas Perjanjian Persefahaman Transformasi dan Kestabilan Politik ditandatangani?” soalnya dalam hantaran di Facebook sebentar tadi.

Hadi yang disambung pelantikannya sebagai Duta Khas Perdana Menteri ke Asia Tengah bertaraf menteri itu turut menyenaraikan tiga lagi perkara yang dianggapnya ‘menarik’ dalam sidang Parlimen kali ini.

“YB Ustaz Idris Ahmad, Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama) akan menjawab soalan Ahli Parlimen Jerantut mengenai penipuan tanda halal (kartel daging).

“YB Datuk Sri Tuan Ibrahim Tuan Man, Menteri Alam Sekitar dan Air (KASA) dijangka akan menjawab soalan mengenai perancangan pihak kerajaan untuk membina struktur penghadang ombak untuk menghalang hakisan tanah pantai dan tindak balas serta kedudukan Kerajaan terhadap laporan Panel Perubahan Iklim antara Kerajaan (IPCC) yang diterbitkan baru-baru ini.

“Siapa yang akan dipilih sebagai Timbalan Yang di-Pertua? YB Datuk Seri Ahmad Maslan atau YB. Nga Kor Ming?” soal Hadi lagi.

Bekas Menteri Besar Terengganu sepenggal itu kemudiannya menjemput orang ramai menonton siaran langsung Mesyuarat Pertama Penggal Keempat Majlis Parlimen Keempat Belas Sidang Dewan Rakyat di laman Facebook rasminya itu.

Semalam, Pengarah Komunikasi PH, Fahmi Fadzil yang juga Ahli Parlimen Lembah Pantai berkata Kerajaan Persekutuan dan blok pembangkang itu bersetuju bahawa Parlimen tidak akan dibubarkan sebelum 31 Julai tahun depan.

MoU itu juga bersetuju bahawa PH kekal sebagai pembangkang sepanjang tempoh tersebut.