Penyanyi terkenal, Aiman Tino kembali menyita perhatian ramai baru-baru ini selepas membuat satu pendedahan yang mengejutkan.
Mana tidaknya, penyanyi yang berusia 25 tahun itu mendakwa peminat wanita masih tidak berhenti ‘menggedik’ walaupun mengetahui dirinya kini berstatus suami orang.
Tidak cukup dengan itu, ada juga peminat kaum hawa yang bertindak keterlaluan hingga berani mencuba untuk memegang anggota badan Aiman di depan isterinya.
Berusaha untuk bersikap profesional, penyanyi yang terkenal menerusi lagu Aku Rela Dibenci itu turut mengelak melayan peminat terutamanya wanita yang keterlaluan.
Selain menjaga batas sebagai suami orang, pelakon drama Kampung Kolestrol itu juga mahu menjaga hati isteri yang dinikahinya enam bulan lalu, lapor Berita Harian.
“Ada (peminat) yang masih nak menggedik dengan saya. Walaupun isteri ada di sebelah, tetapi mereka tetap nak dekat dengan saya sambil cuba nak pegang lengan.
“Sebelum ini, saya memang tak kisah nak ramah mesra dengan peminat lelaki atau perempuan. Cuma sekarang kena ada batasan sebab sudah ada isteri,” katanya memetik Berita Harian.
Mengulas lanjut, Aiman bersyukur kerana isterinya, Syarah Haifa bersikap profesional di hadapan peminat yang ‘berani’ itu kerana memahami kerjayanya sebagai selebriti.
Walau bagaimanapun, Syarah Haifa akan tetap meluapkan perasaan tidak puas hati kepada suaminya, Aiman sejurus selepas mereka berdua sudah pulang ke rumah.
Bayangkan gara-gara insiden tersebut, pemilik nama sebenar Mohamad Aiman Yusri itu pernah dikunci di luar bilik tidur di rumah mereka kerana isterinya masih merajuk.
“Isteri sangat profesional dan macam okay sahaja. Tetapi, apabila balik rumah mulalah membebel sambil mengingatkan saya supaya tidak layan secara berlebihan.
“Pernah juga dia merajuk dan kunci diri dalam bilik gara-gara insiden itu. Saya jelaskan kepada dia, itu sekadar peminat. Setakat ini, tak pernah terlepas lagi.” Ulas Aiman.
Terdahulu, Aiman dan Syarah yang berkenalan lebih dua tahun itu sah menjadi suami isteri selepas melangsungkan pernikahan pada 27 April lalu.
Baca juga: “Aku cuak minta cerai sebab suami baran dan pendendam, Allah pun dia tak takut”