Penantian selama empat tahun untuk mendapatkan zuriat berakhir dengan tragedi apabila seorang wanita yang hamil lapan bulan meninggal dunia.
Membawa bersama buah hati yang masih belum sempat melihat dunia, sang ibu dikenali sebagai Nor Ezaty Abdul Latif itu dilaporkan maut akibat sesak nafas.
Sangat menyayat hati, Ezaty yang sudah empat tahun menanti kehadiran zuriat itu difahamkan bakal melahirkan anak sulung dalam kandungannya pada November ini.
Namun malangnya, suami Ezaty harus menerima takdir apabila wanita yang berusia 26 tahun itu dijemput Ilahi terlebih dahulu bersama bayi dalam kandungannya.
Kejadian yang berjaya mengundang simpati orang ramai itu dikongsikan menerusi beberapa rakaman video di akaun TikTok dan Facebook milik Mr Wan Cai Official.
Wan Cai memaklumkan, jenazah Nor Ezaty dan anak sulungnya telah diuruskan oleh pihak Unit Khas Van Jenazah (UKVJ) HQ pada Rabu (11 Oktober 2023) lalu.
Perkongsian Wan Cai mengenai pemergian Allahyarhamah Nor Ezaty pada pukul 3 pagi, Selasa lalu itu telah berjaya meruntun hati pengguna media sosial tempatan.
Meraih jutaan tontonan, video itu turut berjaya merakam suami Ezaty, Muhammad Hafizul Mazlan yang sedang dalam kesedihan sambil ditenangkan ahli keluarganya.
Tinjauan di ruangan komen mendapati rata-rata penonton mengirimkan doa kepada jenazah dan juga Hafizul agar lelaki itu dikurniakan kekuatan untuk menerima tadir.
Pengguna media sosial turut berkongsi rasa sebak ketika melihat Hafizul yang sedang mendukung anaknya untuk mengucup jenazah bayi itu buat kali terakhir.
Wan Cai juga sempat berkongsi situasi hiba yang mengiringi proses pemakaman Nor Ezaty dan zuriatnya di Tanah Perkuburan Islam Selat Klang, Selangor lapor Harian Metro.
āKami termasuk jurumandi jenazah turut merasai kesedihan itu. Paling menyedihkan apabila suami arwah seperti tidak tahu mahu melihat jenazah yang mana satu dahulu.
āMelihat situasi itu tanpa sedar air mata jatuh. Saya juga merasai kesedihan mereka terutama suami arwah yang sudah menanti cahaya mata bersama isteri selama empat tahun.
āApabila jenazah bayi dimasukkan ke dalam liang lahad, hujan renyai-renyai tadi turun agak kuat (lebat) dan ketika kami mengambus tanah hujan terus hilang,ā katanya.