Penduduk KL, Selangor bakal hadapi gangguan bekalan air Rabu ini

Oleh BORHAN AHMAD

Sebahagian besar penduduk di Selangor dan Kuala Lumpur dijangka akan mengalami gangguan bekalan air pada hari Rabu 13 Oktober ini mulai jam 9 pagi hingga jam 11 malam.

Menteri Besar Selangor mengumumkan, ia adalah untuk membolehkan penyelenggaran berjadual terhadap loji bekalan air yang telah diluluskan oleh Suruhanjaya Perkhidmatan Air Negara (Span).

“Kelulusan kerja telah diberikan oleh Suruhanjaya Perkhidmatan Air Negara (Span) manakala kesan kerja akan membabitkan penghentian sementara tugas Loji Rawatan Air Sungai Selangor Fasa 1(LRA SSP1),” kata Datuk Seri Amirudin Shaari itu.

Menurut notis Air Selangor, tempoh penyelenggaraan bermula jam 9 pagi sehingga 11 malam pada 13 Oktober membabitkan 998 kawasan di Wilayah Petaling, Klang, Shah Alam, Gombak, Kuala Lumpur, Hulu Selangor, Kuala Langat, Kuala Selangor.

Notis tersebut turut memaklumkan peringkat pemulihan bekalan air akan bermula jam 5 petang pada 14 Oktober secara berperingkat dan dijangka pulih sepenuhnya pada 16 Oktober, jam 9 malam.