Seorang penjual mi dilapor dipenjara selama lima tahun enam bulan hanya kerana membuat video parodi mengejek seorang menteri paling berkuasa di Vietnam, lapor BBC.
Dalam video berkenaan, peniaga tersebut iaitu Bui Tuan Lam membuat aksi meniru gerakan chef selebriti Salt Bae, dengan menabur bawang hijau di atas mi supnya seperti gaya chef itu menabur garam pada hidangan stiknya .
Video tersebut menjadi popular kerana dipercayai menyindir menteri keselamatan negara itu, To Lam yang menikmati stik bersalut emas berharga 1,600 pound (RM9,131) di restoran chef tersebut sehingga mencetus kekecohan dalam talian.
Ramai rakyat Vietnam mengecam tindakan pegawai tinggi komunis itu yang memakan hidangan mewah dengan harga mahal melebihi gaji bulanannya sejurus selepas beliau melawat kubur Karl Marx di London.
Ekoran tularnya video parodi itu, polis menyoal siasat penjual mi berkenaan dan menutup gerainya, yang menjadi sangat popular selama beberapa hari selepas parodinya dimuat naik di laman sosial.
Lelaki itu dilaporkan ditahan sejak September tahun lalu dan pasportnya turut disekat.
“Walaupun parodi Salt Bae yang terkenal tidak disebut, rasa malu kerajaan Vietnam terhadap video itu dianggap sebagai punca penahanannya.
“Walaupun pertuduhan adalah mengenai siaran Facebook yang lalu, tiada siapa yang patut tertipu,” kata Pegawai Human Rights Watch, Phil Robertson.
Sebelum ini, Lam pernah mengkritik pihak berkuasa dalam Facebook dan menjelaskan dia ‘meninggikan suara untuk masyarakat yang lebih baik’.
Polis di Vietnam kerap memanggil aktivis dan orang ramai yang mengkritik Parti Komunis yang memerintah negara untuk disoal siasat.