Permudahkan bantuan kepada PKS bagi melawan Covid-19

Oleh BORHAN AHMAD

Kerajaan digesa mempermudahkan permohonan geran bagi penggiat perusahaan kecil dan sederhana (PKS) dalam usaha menyelamatkan perniagaan mereka ketika Covid-19 bermaharajalela.

Naib Ketua Sosialis Muda DAP (DAPSY), Muhammad Shakir Ameer Mohideen (gambar) berkata, kerajaan patut memberikan suntikan kewangan bagi golongan PKS yang terjejas dengan pandemik Covid-19 sejak tahun lalu.

“Ini supaya mereka (PKS) boleh mula balik. Sekarang masa pemulihan dah. Ekonomi dibuka.

“PKS yang terjejas perlukan dana untuk mula semula di samping menukar model perniagaan mereka,” katanya ketika dihubungi baru-baru ini.

Berbanding dengan bulan lalu, beliau berpendapat, keadaan boleh menjadi lebih baik selepas ramai rakyat telah divaksin justeru, kes kritikal mula berkurangan.

Namun begitu jelasnya, situasi ekonomi dilihat sememangnya teruk.

“Lagipun dengan pembentukan kerajaan ‘baru’ dengan muka-muka sama seperti Kabinet lalu memang tiada beza.

“Seperti contoh menteri kewangan masih orang sama. Cuma dapat cuti dua minggu,” katanya.

Muhammad Shakir Ameer turut membangkitkan isu bantuan 150,000 komputer riba yang dikatakan belum lagi selesai sejak diumumkan belanjawan lalu.