Biasalah pergaduhan ibu dengan anak itu wujud, cuma kebiasaan ia tidak ditularkan di media sosial.
Namun bagi mereka dengan masalah kesihatan, itu bukanlah satu perkara yang senang dibendung malah kadang-kadang ia terjadi tanpa sedar,
Buat pelakon Fathia Latiff, dia mengakui disebabkan masalah kemurungan yang teruk menyebabkan dia bergaduh dengan ibunya ketika bersiaran langsung di media sosial.
Walaupun kejadian ini berlaku pada tahun lepas, Fathia mengakui malu dengan insiden yang berlaku lapor Harian Metro.
“Keadaan sakit (kemurungan) dialami saya teruk sampai video bergaduh dengan ibu itu (di media sosial). Sebenarnya, saya malu dengan video itu. Malu sangat-sangat.
“Saya macam nampak sangat tak bijak dan apabila tengok balik video itu, saya rasa malu. Saya juga rasa, tergamaknya buat macam itu kepada keluarga saya sendiri.
“Tapi, masa itu (dalam video berkenaan) saya juga ada cakap, nak ubat, nak ubat,” katanya seperti dipetik Harian Metro.
Bagaimanapun pelakon berusia 37 tahun itu mengakui hubungan dengan ibu bapa dan ahli keluarga lain dalam keadaan baik.
“Sekarang, saya cuma berharap orang di luar sana dapat faham dengan situasi diri saya. Alhamdulillah, keluarga saya memberikan sokongan kerana mereka memahami keadaan kesihatan saya.
“Ibu bapa saya juga beri kelonggaran untuk saya buat apa saja yang saya nak kerana mereka tidak mahu saya ‘stress’ (rasa tertekan) lagi.
“Dahulu, saya pernah dihantar ke pusat pemulihan selama tiga bulan gara-gara perangai kuat berparti sehingga tak boleh nak dikawal.
“Kini saya lebih banyak luangkan masa dengan keluarga,” tambahnya.