Pertemuan pemimpin besar tunjuk contoh prinsip ‘negara didahulukan’

Oleh KIM SYAZIE

Pertemuan Perdana Menteri, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob bersama Pakatan Harapan (PH) seharusnya melahirkan persetujuan bersama untuk meneruskan agenda reformasi berkenaan akta-akta yang akan menjamin kesihatan demokrasi, kestabilan dan perpaduan dalam negara ini.

Naib Presiden AMANAH, Datuk Seri Dr Mujahid Yusof Rawa berkata, demokrasi umpama gelanggang yang apabila rosak, para pesaing perlu berhenti untuk membaikinya kerana mereka akan menggunakan gelanggang itu kelak untuk menyambung persaingan mereka.

Justeru menurutnya, selain permasalahan tentang implikasi Covid-19, persetujuan harus dimeterai untuk memerangi kebencian kaum dan agama yang sering dipolitikkan secara berleluasa.

“Keadaan negara memerlukan sentuhan semua pihak untuk dirawat hasil dari 17 bulan pelanggaran demokrasi dan perlembagaan.

“Tinggalkan emosi dan sentimen serta kemarahan. Jiwa perlu terima untuk kepentingan yang lebih besar dari diri, parti dan pengikut masing-masing.

“Tiada yang lebih besar dari kepentingan negara. Diharapkan pertemuan pemimpin besar negara dapat menunjukkan contoh prinsip ‘negara didahulukan’,” ujarnya dalam satu kenyataan sebentar tadi.

Ahli Parlimen Parit Buntar itu menambah, inilah masa dan peluang yang terbaik untuk semua pihak mara ke hadapan.

“Peristiwa dahulu adalah pengalaman, apa yang ada hari ini adalah peluang kebaikan dan semua kita harus melihat ke hadapan dengan harapan yang lebih baik untuk negara,” katanya lagi.

Pada semalam, Ketua Pembangkang Datuk Seri Anwar Ibrahim menganggap perjumpaan semalam sebagai satu permulaan yang baik untuk menangani masalah pendemik yang melanda negara dengan lebih berkesan.

PH menekankan agar program-program untuk rakyat terutama golongan miskin yang kehilangan pekerjaan perlu diberi keutamaan oleh perdana menteri yang baru ini.