Pakatan Harapan Johor menyatakan kekecewaannya terhadap reaksi negatif Menteri Besar Johor, Datuk Hasni Mohammad terhadap desakan wakil-wakil rakyat pembangkang untuk menyertai Jawatankuasa Tindakan Daerah (JKTD).
PH berkata, respon yang diberikan MB amat mengecewakan kerana menolak desakan mereka dengan menyatakan bahawa JKTD sebagai platform pelaksana semata-mata dan bukan bersifat legislatif.
“Menurut logik MB, tiada keperluan bagi Adun pembangkang menyertai JKTD.
“Ironinya, Adun di pihak kerajaan sendiri pun telah menyertai mesyuarat JKTD ini bagi membawa isu-isu rakyat yang mereka wakili. Justeru, mengapa tidak Adun pembangkang?
“Pembangkang juga ada tanggungjawab untuk membawa suara dan isu rakyat di kawasan mereka ke jawatankuasa peringkat daerah yang bermesyuarat setiap bulan, tidak seperti Dewan Negeri yang hanya bersidang 4 kali setahun,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.
Kenyataan itu dibuat bersama Timbalan Pengerusi AMANAH Johor, Dzulkefly Ahmad (Adun Kota Iskandar); Timbalan Pengerusi PKR Johor, Jimmy Puah Wee Tse (Adun Bukit Batu); dan Naib Pengerusi DAP Johor Sheikh Umar Bagharib Ali (Adun Paloh).
PH mengingatkan Hasni untuk sedar bahawa selain Adun yang bertindak sebagai seorang penggubal dasar di Dewan Negeri, mereka turut merupakan seorang wakil rakyat.
Oleh itu katanya, demi memastikan seseorang Adun dapat menunaikan tugasan dengan berkesan, adalah imperatif untuk melibatkan Adun dalam mesyuarat JKTD.
Dalam perkembangan lain, PH Johor mencadangkan agar satu Jawatankuasa Khas Dewan ditubuhkan untuk merealisasikan hasrat Hasni Mohammad yang mahu menggazetkan sejumlah peruntukan tetap untuk diberikan kepada wakil-wakil rakyat merentasi parti.
PH berkata, draf dokumen yang bakal disediakan Hasni boleh digubal dalam bentuk enakmen seterusnya dibentang dan dipersetujukan oleh Ahli-ahli Dewan dalam sidang DUN Johor yang akan datang.
“Kejayaan Johor melaksanakan perkara ini akan menjadi contoh terbaik kepada negeri-negeri lain bahkan Parlimen Malaysia sendiri dalam rangka usaha mendemokrasikan Dewan,” katanya lagi.