Pakatan Harapan Selangor mengucapkan syabas dan tahniah kepada Kerajaan Negeri dan Pengurusan Air Selangor yang telah membuat persediaan dan perancangan rapi.
Pengarah Penerangan PH Selangor, Azli Yusof (GAMBAR) dalam kenyataannya berkata, rakyat Selangor berterima kasih ke atas usaha yang dilaksanakan demi kesejahteraan semua.
Tambahan pula, katanya, apabila kemajuan kerja-kerja di lapangan yang dilaporkan secara lansung dan berterusan melalui media rasmi dan media social telah dapat diikuti oleh orang ramai.
“Pakatan Harapan Selangor mengucapkan setinggi penghargaan kepada rakyat Negeri Selangor yang sangat memahami langkah yang diambil Kerajaan Negeri mempastikan bekalan air bersih, mencukupi dan berterusan dapat dibekalkan kepada 6.7 juta penduduk negeri ini,” kata beliau yang juga Timbalan Pengerusi Amanah Selangor itu.
Beberapa minggu yang lalu, Kerajaan Negeri Selangor memaklumkan Jadual Gangguan Bekalan Air melibatkan 998 kawasan di Wilayah Petaling, Kuala Lumpur, Klang, Shah Alam, Gombak, Hulu Selangor, Kuala Langat dan Kuala Selangor.
Gangguan Bekalan Air yang bermula 13 – 16 Oktober bertujuan memberi laluan kepada Air Selangor melaksanakan kerja-kerja penyelenggaraan dan naiktaraf aset-aset kritikal Loji Rawatan Air Sungai Selangor Fasa 1 (LRA SSP1).
Sejak itu pelbagai tanggapan negatif mula disebarkan oleh sesetengah pihak untuk menimbulkan keresahan di kalangan masyarakat awam bertujuan memperkecilkan kewibawaan Kerajaan Negeri dan kecekapan Pengurusan Air Selangor.
Walaupun hakikatnya, isu yang cuba dimanipulasi adalah sangat berbeza kerana krisis bekalan air yang melanda sebelum ini adalah kejadian luar jangka disebabkan berlakunya pencemaran dan seumpamanya.
“Sebaliknya, rakyat Selangor yang menyambut baik pelan penyelenggaraan dan naik taraf ini tidak mudah termakan dengan dakyah murahan pihak berkepentingan.
“Mereka mula membuat persiapan awal dengan menyediakan tong dan bekas air di komuniti dan kediaman masing-masing. Malah mereka saling berpesan, bantu membantu sesama jiran dan rakan, serta memberi tips bagi mempastikan bekalan air mencukupi dan diguna sekadar perlu untuk tempoh tersebut,” katanya.
Kerajaan Negeri melalui Pengurusan Air Selangor juga telah menyediakan pili-pili air sementara di beberapa kawasan strategik.
Di samping itu, pemimpin masyarakat terdiri ADUN, Ahli Majlis, Ketua Kampung dan Komuniti serta NGO turut sama menyumbang tangki-tangki air ke kawasan kediaman yang berkepadatan tinggi untuk kemudahan orang ramai.
“Malah kehadiran YAB Menteri Besar Selangor yang turun ke tapak Loji Rawatan Air pada malam hari penyelenggaran dan naik taraf membuktikan kesungguhan beliau meninjau dan mempastikan kerja-kerja dilaksana dengan sempurna mengikut jadual,” kata beliau.
Natijahnya, sasaran kerja telah disiapkan lebih awal dari jadual. Bekalan air pulih secara berperingkat dan dapat disalur kepada pengguna lebih awal dari yang dijangka.