Pikat isteri orang hingga hamil, lelaki Kedah diperintah bayar ganti rugi RM30,000 pada suami

Oleh WAN SITI AMINAH

Seorang lelaki dari Baling, Kedah telah diperintahkan oleh mahkamah untuk membayar ganti rugi sebanyak RM30,000 terhadap suami kepada kekasihnya.

Tidak hanya memikat isteri orang lain, pemuda berusia 26 tahun itu didapati turut melakukan zina dengan wanita yang sudah berkahwin sehingga melahirkan anak.

Menjalinkan hubungan sulit di luar nikah hingga meruntuhkan rumah tangga orang lain, mahkamah memerintahkan lelaki bukan Islam itu untuk membayar pampasan.

Perintah itu dikeluarkan oleh Hakim Mahkamah Tinggi Alor Setar, Kedah iaitu Mahazan Mat Taib selepas membenarkan petisyen balas difailkan suami wanita terbabit.

Terdahulu, sang isteri yang berumur 32 tahun itu mulanya memfailkan petisyen di bawah Akta Membaharui Undang-Undang (Perkahwinan dan Perceraian) 1976.

Suaminya yang merupakan pemandu treler berusia 38 tahun kemudian memfailkan petisyen balas dengan menamakan lelaki dari Baling itu sebagai pihak dalam prosiding.

Namun, selepas petisyen balas diserahkan, isteri dengan lelaki simpanannya malah pergi ke luar negara dan masih belum pulang untuk mengadiri prosiding mahkamah.

Hakim Mahazan dalam penghakimannya berkata, mahkamah memandang serius perbuatan curang dan penzinaan sehingga menjadi punca keretakan rumah tangga.

Menurutnya, jumlah ganti rugi RM30,000 itu cukup munasabah dengan mengambil kira perlakuan negatif wanita terbabit bersama kekasihnya, lapor Utusan Malaysia.

“Mahkamah memandang serius perlakuan curang yang dilakukan tersebut kerana ia telah menjejaskan kehidupan rumah tangga. 

“Ganti rugi sebanyak RM30,000 perlu dibayar kepada responden iaitu suami sebagai satu pengajaran kepada masyarakat umum,” katanya memetik laporan Utusan Malaysia.

Peguam yang mewakili suami, Opat Aisin berkata pihaknya telah menyerahkan beberapa bukti kepada mahkamah untuk menyokong dakwaan pemandu treler itu.

Di bawah perkahwinan sivil, mahkamah mempunyai budi bicara memerintahkan pihak yang berzina dengan pasangan suami isteri untuk membayar ganti rugi.

Opat memaklumkan, perintah pembayaran ganti rugi ini dijadikan sebagai teladan kepada masyarakat untuk tidak mengulangi perbuatan salah laku tersebut.

Baca juga: “Bila gaduh mulalah suami tampar dan terajang, tak ada sekalipun dia minta maaf lepas kantoi berzina dengan janda, akhirnya…”