Pilih untuk fokus kerja, Aedy tak rancang nak lamar kekasih dalam masa terdekat

Oleh MAISARAH AISYA

Masih muda dan fokus bekerja menjadi asbab utama pelakon Aedy Ashraf tidak menamatkan zaman bujang.

Baginya dia dan pelakon Amelia Henderson masih sibuk dengan kerjaya masing-masing untuk melangkah ke fasa seterusnya.

Memetik Kosmo! Online, Aedy mengakui terpikat dengan Amelia bukan kerana rupanya tapi sikap wanita itu yang sangat komited.

“Saya tertarik dengan Amelia kerana dia bukan sahaja cantik, tetapi bijak, komited dengan kerja dan pandai menguruskan hidupnya.

“Sebenarnya kami sangat rapat dan sentiasa ada untuk satu sama lain. Bahkan dia juga penyokong terbesar saya.

“Perkara ini yang menjadikan saya lebih menghargainya,” ujar Aedy seperti dipetik Kosmo! Online.

Aedy bagaimanapun mengakui dia dan Amelia sudah mengenali keluarga masing-masing cuma tidak memikirkan lagi soal perkahwinan.

“Tentang perancangan untuk berkahwin, kami tidak meletakkan sebarang tarikh atau sasaran sebab masing-masing sedang sibuk.

“Dia pula begitu komited dengan kerja sehingga saya sendiri terinspirasi dengannya. Kami berdua mempunyai fikiran yang sama.

“Saya pun sudah berjumpa dengan keluarganya untuk berkenalan dengan lebih dekat. Insya-Allah, kalau ada rezeki, ada jodoh, adalah,” katanya.

Baca juga: Puteri Sarah pilih rahsiakan karier depan anak, sampai sekarang Syaikhul dan Sumayyah tak tahu mak ayah selebriti