Pinang wanita tiada dara demi cinta, lelaki batal niat bila keluarga ‘demand’ RM20,000

Oleh WAN SITI AMINAH

Seorang pemuda membuat keputusan untuk menghantar rombongan meminang demi membuktikan keikhlasannya mencintai wanita yang tidak mempunyai dara.

Bersedia menerima kisah silam wanita itu dengan hati terbuka, pemuda yang dikenali sebagai Mamat itu bagaimanapun terkejut setelah bertemu keluarga bakal isterinya.

Tidak hanya menetapkan nilai mas kahwin dengan kadar yang tinggi iaitu RM10,000, keluarga wanita itu turut meminta wang tambahan RM10,000 sebagai hantaran.

Bukan berniat untuk mempersoalkan nilai maruah wanita yang tiada dara itu, Mamat cuma merasa terkilan kerana niatnya menghalalkan hubungan tidak dipermudahkan.

Masih mencuba untuk berbincang, Mamat mula tawar hati apabila teman wanitanya mencadangkan agar dia membuat pinjaman peribadi untuk menampung kos itu.

“Bila jumpa keluarganya, baru tahu jenis control. Segala keputusan dibuat oleh mak ayah dia termasuk seorang abang dan tiga kakaknya. Dia anak bongsu.

“Bermulalah episod meletakkan harga pada diri dia. Mereka minta mas kahwin RM10,000. Duit hantaran asing RM10,000 dengan beberapa barangan hantaran lain.

“Aku kira jumlah lebih kurang RM25,000 untuk sebelah dia. Dia (kekasih) kata jumlah itu biasa sebab kakak-kakak dia pun kahwin standard seperti itu,” kongsi Mamat.

Mula berfikir masak-masak dalam tempoh dua bulan selepas majlis merisik, terdetik di dalam hati Mamat untuk memutuskan hubungan dengan wanita itu.

Mula menjauhkan diri demi merenggangkan hubungan, Mamat kemudian membuat keputusan untuk menamatkan hubungan selepas gadis itu tamat belajar.

Mengiyakan tuduhan bahawa dia mempunyai gadis lain, Mamat tidak mahu ditimpa dengan lebih banyak masalah sekiranya perkahwinan itu diteruskan.

Tidak ada kaitan dengan status kekasihnya itu yang tiada dara, Mamat cuma tidak dapat membayangkan kehidupannya bersama keluarga wanita terbabit.

Point yang aku cuba sampaikan ialah, ibu bapa tidak tahu situasi anak perempuan mereka terutamanya yang belajar berjauhan daripada keluarga.

“Permudahkanlah kalau mereka nak berkahwin. Aku rasa ramai lelaki pernah lalui hal yang sama. Jadi aku buka cerita bagi pihak kamu semua.” Ujar Mamat.

Berharap perkongsiannya di Facebook dapat memberi pengajaran terutamanya kepada ibu bapa, kejadian tersebut difahamkan berlaku pada Mamat kira-kira tiga tahun lalu.

Baca juga: Video pengantin urus jenazah curi perhatian, rupanya ibu wafat 30 minit lepas nikah