Jabatan Imigresen Malaysia (JIM) mengeluarkan penafian rasmi berhubung penyebaran poster bertajuk “New: Malaysia Passport & MyKad 2026” yang kini tular di media sosial dan mengundang kekeliruan orang ramai.
Dalam kenyataan yang turut dikongsikan bersama Kementerian Dalam Negeri (KDN), JIM memaklumkan pihaknya mengambil perhatian serius terhadap penyebaran bahan tersebut yang turut memaparkan laman web rasmi jabatan sebagai rujukan.
Menurut JIM, poster berkenaan bukan dikeluarkan oleh pihaknya dan kandungan yang disampaikan adalah tidak sahih.
“Jabatan Imigresen Malaysia (JIM) mengambil perhatian serius mengenai penyebaran poster bertajuk ‘New: Malaysia Passport & MyKad 2026’ yang mengaitkan laman web rasmi JIM sebagai rujukan dan kini tular di media sosial.”
“Dimaklumkan bahawa poster tersebut bukan dikeluarkan oleh Jabatan Imigresen Malaysia dan kandungan serta maklumat yang disampaikan adalah tidak sahih serta tidak mewakili sebarang pengumuman rasmi JIM,” tulis kenyataan yang dimuat naik di akaun rasmi.
Sehubungan itu, orang ramai dinasihatkan agar tidak menyebarkan maklumat yang belum disahkan serta sentiasa merujuk kepada saluran rasmi JIM untuk mendapatkan informasi tepat berkaitan pasport Malaysia atau sebarang pengumuman dasar.
“Sebarang perkembangan rasmi akan dimaklumkan melalui laman web serta platform media sosial rasmi Jabatan Imigresen Malaysia.”
JIM menegaskan hanya maklumat yang disiarkan melalui saluran rasmi wajar dijadikan rujukan bagi mengelakkan salah faham dalam kalangan masyarakat.
Baca juga: Terima upah RM200 promosi gerai air balang, lelaki pakai kostum duyung sudah ditahan