Datuk Seri Rafizi Ramli mendedahkan berapa gaji yang diterimanya sewaktu menjadi Menteri Ekonomi.
Bekas Timbalan Presiden PKR itu berkata, gaji bersih sebulan beliau adalah sebanyak RM29,556.21.
Tetapi jumlah sebenar gaji dan elaun sebelum pemotongan adalah berjumlah RM40,653.41.
Beliau mendedahkan perkara itu dalam podcast “Yang Berhenti Menteri” kelmarin sambil menunjjkkan slip gaji bulan Jun.
Jika dikira-kira, beliau mempunyai potongan sebanyak RM11,097.20 yang antaranya termasuk elaun rumah (RM4,000) kerana dia menetap di kuarters kerajaan, caruman Kumpulan Wang Simpanan Pekerja (RM927), dan cukai pendapatan (RM2,743.95).
Gajinya bagi bulan yang sama sebagai Ahli Parlimen pula sebanyak RM16,000, menurut laporan Malaysiakini.
Pun begitu sebagai MP, gajinya perlu disalurkan separuh kepada parti, maka jumlah bersih yang diterimanya ialah RM7,622.
“Jadi campur dua, RM29,000 campur RM7,000 – dapatlah dalam RM35,000, RM36,000 sebulan,” kata Ahli Parlimen Pandan itu seperti dilapor.
Rafizi berkata kemungkinan besar gaji yang diterimanya lebih rendah berbanding wakil rakyat lain, khususnya menteri besar, yang biasanya mendapat tambahan gaji dan elaun daripada pelbagai peranan dalam anak syarikat dan jawatankuasa.
Baca juga: Mana ada negara lain semurah ini, PM beri jaminan RON95 turun RM1.99 akhir Sept