Rafizi muncul sohor kini di media sosial

Oleh ARIF ATAN

Bekas Naib Presiden PKR, Rafizi Ramli, muncul sohor kini di media sosial sekarang susulan kejayaannya menguasai banyak negeri pada pemilihan parti itu kali ini.

Mantan Ahli Parlimen Pandan berkenaan meraih perhatian warganet dengan lebih 2,200 kicauan di Twitter dan hampir 5,000 orang memperkatakannya di Facebook setakat pagi ini.

Mengikut keputusan yang dikongsikan di laman rasmi keputusan pemilihan PKR, www.pemilihankeadilan2022.com, Rafizi meraih hasil kutipan undi tertinggi di 11 negeri dan Wilayah Persekutuan.

Rafizi menyaingi pesaingnya yang juga Setiausaha Agung PKR, Datuk Seri Saifuddin Nasution Ismail untuk jawatan Timbalan Presiden PKR.

Setakat malam tadi, beliau menang dengan lebih 66,000 undi di kebanyakan cabang di Selangor, Johor, Kelantan, Melaka, Kedah, Negeri Sembilan, Perak, Pahang, Terengganu, Wilayah Persekutuan dan Pulau Pinang.

Sementara itu, Saifuddin yang juga Ahli Palimen Kulim Bandar Baharu menang di Perlis dan Sabah dengan undi terkumpul hampir 48,000.

Saifuddin Nasution Ismail

Mengulas keputusan tidak rasmi yang dikeluarkan Jawatankuasa Pemilihan Parti (JPP) PKR malam tadi, Saifuddin menasihatkan agar supaya anggota parti komponen Pakatan Harapan (PH) itu mengelak daripada bersengketa sehingga memutuskan silaturahim.

Untuk rekod, Kongres Nasional PKR dijadualkan berlangsung pada Jun ini dengan Presiden parti, Datuk Seri Anwar Ibrahim bakal mempunyai barisan kepemimpinan yang lengkap selepas kira-kira 3,000 perwakilan memilih 20 Ahli Majlis Pimpinan Pusat (MPP).