Rossa Sera bekas isteri Syuk Sahar selamat bertunang dengan jejaka pilihan, minta doa yang baik-baik

Oleh KIM SYAZIE

Selepas lapan bulan bercerai dengan pelawak Shuk Sahar, Rossa Sera kini memulakan fasa terbaru dalam hidupnya apabila dilapor telah mengikat tali pertunangan bersama seorang lelaki semalam.

Menerusi hantaran yang dimuat naik Sera atau nama sebenarnya Rossalennah Natassyiah Assahaferah dalam Instagram miliknya, kelihatan jarinya disarungkan cincin oleh seorang wanita ketika berada di atas pelamin.

Sera yang kelihatan anggun memakai baju kurung moden berona ungu gelap turut dilihat gembira selepas jari manisnya disarungkan cincin.

“Assalamualaikum. Doa yang baik-baik semua,” tulisnya pada ruangan kapsyen.

Dalam hantaran sama, Sera juga turut berkongsi gambar bersama seorang jejaka bertubuh sasa yang berkemeja dengan warna sedondon dipercayai tunangannya. 

Bagaimanapun, wajah lelaki itu ditutup dengan emoji muka berlambangkan hati.

Dalam ruangan komen, ramai pengikutnya teruja dan mendoakan agar pertunangan Sera bersama jejaka tersebut dipermudahkan, sekali gus menemui kebahagiaan yang dicari selama ini.

“Tahniah. Semoga segala urusan dipermudahkan,” ujar seorang pengikutnya.

“Menangis shuk,” seloroh netizen.

“Wow! Tahniah. Semoga kekal bahagia. Sado pasangan awak,” kata seorang lagi netizen.

Terdahulu, selepas hampir dua tahun berkonflik, rumah tangga bekas pengacara dan pelawak popular Shuk Sahar dengan isterinya, Rossa Sera berakhir dengan talak satu pada 22 Mac lalu.

Shuk atau nama sebenarnya Mohammad Shukri Mohamed Sahar, 36, berkata, lafaz cerai yang berlangsung di Mahkamah Rendah Syariah Kuala Lumpur diputuskan selepas mencapai kata sepakat dan persetujuan bersama-sama.

Krisis rumah tangga Shuk dan Sera mula goyah apabila pelawak itu didakwa curang dengan wanita lain yang dikenali sebagai Fara Salleh.

Berkali-kali kantoi dan tidak tahan dengan kemelut berpanjangan, Sera atau nama penuhnya Rossalennah Natassyiah Assahaferah nekad memfailkan cerai pada Mac tahun 2022 sebelum sah bercerai pada 27 Mac tahun ini.

Baca juga: Rakan bergurau nampak bakal suami naik motor dengan perempuan lain, wanita terus batalkan perkahwinan