Pendakwah bebas, Mohamad Wadi Annuar Ayub atau Ustaz Wadi Anuar tampil memberikan penjelasan berhubung isu hutang si mati.
Ini adalah susulan perbincangan hangat dalam kalangan netizen mengenai tanggungjawab waris selepas seseorang meninggal dunia.
Menerusi perkongsian di media sosial, beliau menjelaskan bahawa hutang si mati wajib dilunaskan terlebih dahulu menggunakan harta pusaka sebelum sebarang pembahagian dibuat kepada waris.
Menurutnya, aset seperti rumah, tanah atau emas boleh dicairkan bagi tujuan menyelesaikan hutang tertunggak sekiranya masih terdapat nilai harta yang ditinggalkan.
“Jika si mati meninggalkan hutang, ia wajib dilunaskan daripada harta pusakanya sebelum dibahagikan kepada waris,” tulisnya.
Beliau turut menjelaskan bahawa waris tidak diwajibkan membayar hutang menggunakan harta sendiri sekiranya nilai pusaka tidak mencukupi.
Namun, baki hutang yang tidak dapat dijelaskan dikatakan tetap menjadi tanggungan si mati di akhirat.
“Jika harta tidak mencukupi, waris tidak wajib membayar dengan harta sendiri. Namun, sangat digalakkan waris atau pihak lain membantu melunaskannya sebagai ihsan,” jelasnya lagi.
Tular di media sosial mengenai berita pemergian bekas perancang perkahwinan, Zurin Jundi, yang sekali lagi menghidupkan semula kisah lama melibatkan pelanggan-pelanggan yang mendakwa menjadi mangsa penipuan.
Susulan itu, ramai pasangan yang pernah berurusan dengannya tampil meluahkan rasa kecewa dan masih berharap dapat menuntut semula wang yang didakwa hilang.
Zurin sebelum ini dikaitkan dengan pelbagai pertuduhan penipuan sekitar tahun 2017 hingga 2018, apabila didakwa menawarkan pakej perkahwinan murah kepada pelanggan sebelum gagal menunaikan janji.
Kes tersebut dilaporkan membabitkan lebih 100 pasangan dengan jumlah kerugian dianggarkan mencecah RM500,000.
Baca juga: 21 negara paling pintar di dunia telah didedahkan, tak sangka Malaysia pun ada dalam senarai