Anwar ucap selamat hari jadi, janji balas surat kanak-kanak diejek sebab nak jadi PM

Oleh MALAYSIADATELINE

Kunjungan Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim ke Pulau Banggi, Kudat, Sabah semalam telah berjaya merakam detik yang cukup mengharukan antara pemimpin nombor satu negara itu bersama seorang kanak-kanak.

Dalam pertemuan singkat di Majlis Ramah Mesra Perdana Menteri Bersama Masyarakat Setempat Pulau Banggi, Anwar yang juga Menteri Kewangan itu menerima sepucuk surat daripada kanak-kanak terbabit.

Rupa-rupanya kanak-kanak berusia lapan tahun itu sering diejek oleh rakannya kerana bercita-cita menjadi Perdana Menteri membuatkan penyerahan surat tersebut menjadi detik cukup bermakna buat dirinya.

Surat yang diserahkan oleh Syam Aariz Rayyan Abdullah atau nama timangannya, Nanang itu kemudian dibaca oleh Anwar di mana rakamannya turut dikongsikan di platform media sosial.

Menerusi rakaman berdurasi 50 saat itu, Anwar mendedahkan isu surat tersebut dan berjanji akan membalas pesanan daripada murid Sekolah Kebangsaan Karakit, Banggi berkenaan.

@anwaribrahimofficial

Terima surat daripada adik Nanang ketika di Pulau Banggi semalam. Ditanya bagaimana mahu jadi pemimpin. Insya-Allah nanti saya utus surat balas. Pesan saya sentiasa baca buku, sayang dan cium ibu ayah selalu. Dan selamat ulang tahun kelahiran buat Nanang. 🥳

♬ Kids Happy – SoundForYou

“Terima surat daripada adik Nanang ketika di Pulau Banggi semalam. Ditanya bagaimana mahu jadi pemimpin. Insya-Allah nanti saya utus surat balas. Pesan saya sentiasa baca buku, sayang dan cium ibu ayah selalu.

“Selamat ulang tahun kelahiran buat Nanang,” kata Presiden Pakatan Harapan (PH) itu selepas mendapat tahu surat tersebut dihantar bersempena hari jadi kanak-kanak berkenaan.

Difahamkan, Nanang begitu teruja untuk menulis surat tersebut sebaik sahaja ibunya iaitu Norsakinah Junaidi, 33, memaklumkan tentang kunjungan Perdana Menteri ke Pulau Banggi.

Kanak-kanak itu datang ke lokasi majlis ramah mesra tersebut sejak pukul 8 pagi bersama ibunya semata-mata untuk bertemu Perdana Menteri dan menyerahkan surat yang ditulisnya sendiri.

Baca juga: Rakyat Malaysia teruja iklan Tahun Melawat Malaysia hebat dipromosi di negara-negara luar