Amanah Ikhtiar Malaysia (AIM) adalah satu badan amanah persendirian yang ditubuhkan pada 17 September 1987 untuk membantu rakyat kurang berkemampuan melalui pemberian pinjaman mikro.
Badan ini didirikan di Malaysia dengan inspirasi daripada skim kredit mikro diperkenalkan oleh Bank Grameen di Bangladesh yang telah berhasil membantu melawan kemiskinan rakyat di negara itu.
Namun tahukah anda, Perdana Menteri Malaysia ke-10 iaitu Datuk Seri Anwar Ibrahim turut memainkan peranan penting dalam penubuhan badan ini terutama daripada aspek pengumpulan dana.
Perkara ini diakui sendiri oleh Pengerusi Lembaga Pemegang Amanah AIM, Datuk Seri Dr Syed Hussain Syed Junid yang memaklumkan bahawa Anwar antara individu terawal banyak membantu badan tersebut.
Menurut Syed Hussain, Anwar bukan sahaja melancarkan Tabung Ikhtiar malah menggerakkannya sendiri dengan memohon sumbangan termasuk daripada orang perseorangan serta syarikat korporat.
Melalui dana daripada Tabung Ikhtiar inilah AIM dapat membantu Kaum Hawa yang kesusahan dengan mengeluarkan pembiayaan agar mereka boleh memulakan perniagaan kecil-kecilan bagi menjana pendapatan.
Sekadar info, badan amanah ini ditubuhkan secara bersama oleh Universiti Sains Malaysia, Yayasan Pembangunan Ekonomi Islam Malaysia (YaPEIM), Kerajaan negeri Selangor serta disokong kuat oleh Pusat Pembangunan Asia Pasifik.
Pengasas badan amanah ini adalah Profesor Dr Shukor Kasim dan Profesor David Gibbon dari Universiti Sains Malaysia, Pulau Pinang dengan menggunakan pendekatan Dr Muhammad Yunus, dari Universiti Chittagong, Bangladesh.
Baca juga: Food reviewer ‘kantoi’? Makan siap cakap sedap, tapi ludah balik makanan!