Mahkamah Rayuan membenarkan permohonan Datuk Seri Najib Razak untuk menangguhkan pelaksanaan hukuman penjara 12 tahun dan denda RM210 juta selepas menolak rayuan bekas Perdana Menteri itu untuk mengetepikan tujuh tuduhan penyelewengan dana SRC International Sdn Bhd.
Panel tiga hakim Mahkamah Rayuan yang dipengerusikan Hakim Datuk Abdul Karim Abdul Jalil itu membenarkan permohonan Najib, 68, selepas mendengar hujahan kedua-dua pihak.
Sebelum itu, Timbalan Pendakwa Raya Datuk V Sithambaram membantah permohonan Najib untuk menangguhkan sabitan dengan berhujah bahawa sabitan tidak boleh ditangguhkan.
Namun, peguam Tan Sri Muhammad Shafee berhujah, Seksyen 311 Kanun Acara Jenayah menyatakan bahawa perintah dan sabitan boleh dirayu, dengan itu boleh ditangguhkan.
Menurutnya, jika anak guamnya tidak boleh menangguhkan sabitan, ia akan menjejaskan kedudukan beliau sebagai Ahli Parlimen.
Terdahulu, Mahkamah Rayuan mengekalkan sabitan dan hukuman terhadap Najib yang didapati bersalah atas tujuh pertuduhan membabitkan penyelewengan dana RM42 juta milik syarikat SRC International Sdn Bhd.
Panel hakim juga memutuskan Najib mempunyai kepentingan peribadi apabila meluluskan RM4 bilion kepada SRC International Sdn Bhd (SRC).
Najib yang juga wakil rakyat BN Parlimen Pekan itu dalam pembelaannya berkata, tindakannya adalah bagi kepentingan negara.
Walau bagaimanapun, Abdul Karim menyifatkan tindakan perayu sebagai memalukan Malaysia.
“Ini bukan bagi kepentingan nasional seperti didakwa, ini adalah memalukan negara (Nationali embarrassment),” tegasnya.