“Saya cuma fikir nyawa anak” – Zahirah MacWilson jawab dakwaan guna status selebriti di hospital

Oleh MAISARAH AISYA

Pelakon Zahirah MacWilson tampil bersuara selepas didakwa menerima layanan istimewa ketika membawa anaknya ke bilik kecemasan di sebuah pusat perubatan di Ara Damansara.

Bagaimanapun, Zahirah tampil menjelaskan situasi sebenar menerusi Instagram Story miliknya.

Kongsinya dia jarang melayan komen atau gosip, namun memilih untuk bersuara apabila anaknya dikaitkan dalam isu berkenaan.

“Saya biasanya tidak melayan sebarang komen atau gosip yang mengarut.

“Tetapi memandangkan anda mahu menyebut anak saya, saya akan bercakap mengenai perkara ini,” ujarnya dalam Instagram Story.

Isteri kepada pelakon Aiman Hakim Ridza menjelaskan dia hadir ke unit kecemasan kerana keadaan anaknya memerlukan rawatan segera dan bukan untuk mendapatkan layanan istimewa.

“Pernahkah saya menuntut anak-anak saya diutamakan dan diarah melompat barisan

“Tidak. Itu berdasarkan pemerhatian pasukan anda sendiri, jelas kakitangan sendiri mengklasifikasikannya sebagai kecemasan,” tambahnya.

Menurutnya, sebarang keutamaan rawatan ditentukan sendiri oleh pihak hospital berdasarkan tahap kecemasan pesakit, bukannya atas permintaan dirinya.

Dalam masa sama, Zahirah meluahkan rasa kecewa terhadap dakwaan tersebut dan menyifatkan tuduhan dibuat berdasarkan andaian semata-mata.

“Adakah saya patut tersenyum dan ketawa dalam keadaan kecemasan? Kebimbangan saya hanyalah nyawa anak saya… bukan tentang menjadi artis.

“Tolong jangan begini, anda seorang kakitangan perubatan. Kami datang kepada anda untuk mendapatkan bantuan.

“Jangan merendah-rendahkan pesakit anda terutamanya ketika mereka menghadapi kesusahan,” jelasnya.

Zahirah juga berharap pihak pusat perubatan dapat meneliti isu tersebut agar pengalaman sama tidak berlaku kepada mana-mana pesakit lain pada masa depan.

Tular sebelum ini hantaran di sosial media yang mendakwa Zahirah diberi keutamaan ketika mendapatkan rawatan untuk anaknya sehingga dikatakan memotong giliran pesakit lain.

Malah, individu berkenaan turut mendakwa pelakon itu menunjukkan reaksi tidak menyenangkan ketika berada di wad kecemasan selain menganggap status selebriti menjadi faktor layanan diberikan.

Baca juga: Pernah tular video Anwar Ibrahim nyanyi lagu Hindi, rupanya tersebar sampai India!